Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS semakin berkecamuk, kata Kadir
Diterbitkan:  Jul 5, 2021 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mengkritik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan wakil parti itu dalam kerajaan, dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai "berkecamuk, kehabisan modal, hilang akal dan terdesak".

"Tindak tanduk serta tingkah laku Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan anak buahnya semakin berkecamuk seolah-olah kehabisan modal, hilang akal dan terdesak. Malah boleh disifatkan sebagai pelik," kata tokoh wartawan itu dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kadir berkata prestasi Hadi sejak dilantik sebagai duta khas ke Timur Tengah dengan status menteri pada 2 April tahun lalu, jauh daripada luar biasa.

"Lebih setahun berlalu tanpa sebarang hasil yang nyata.

"Pada masa yang sama tindak -tanduk pemimpin PAS yang lain tidak langsung membantu sebaliknya memburukkan keadaan," katanya.

Kadir mendakwa Hadi tidak memainkan peranan dalam menangani krisis Palestin terbaru setelah serangan Israel ke atas Gaza, atau dalam hal-hal lain yang berkaitan hubungan Malaysia dengan Timur Tengah.

Tambah Kadir lagi, Hadi juga tidak termasuk dalam perwakilan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu pada bulan Mac, walaupun para penyokong ahli parlimen Marang itu mendakwa ia disebabkan oleh faktor kesihatan.

Kadir berkata, Hadi tidak seharusnya dilantik ke jawatan penting dengan gaji dan elaun yang tinggi sekiranya dia benar-benar dalam keadaan tidak sihat.

"Tidak ada sesiapa yang memaksa Abdul Hadi memikul beban amanah yang tidak tertanggung olehnya.

"Realitinya Abdul Hadi tidak begitu diterima oleh negara-negara Arab konsevatif," kata Kadir lagi.

Ekoran itu, dia mendakwa Muhyiddin telah melantik Hadi hanya untuk dijadikan alat dan dalam masa sama menjadi "bos" kepada presiden PAS itu.

Pada masa yang sama, Kadir mengatakan prestasi pemimpin PAS dalam kerajaan bukan sahaja tidak cemerlang malah lebih kerap melencong ke arah sensasi seperti melanggar SOP Covid-19.

"Kesimpulannya, Hadi sedang menderita sindrom kesunyian dan kebimbangan takut hilang jawatan, anak-anak buahnya sedang khayal diracuni kuasa, harta dan glamor," kata Kadir sambil menambah PAS akan berusaha menghalang persidangan Parlimen diadakan.

Sementara itu, Hadi dalam catatan blognya hari ini mendakwa negara bukan sahaja menghadapi wabak Covid-19 tetapi juga wabak "berpolitik" tanpa henti.

Hadi mengulangi dakwaan bahawa kerajaa pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya telah menang dalam pilihan raya umum ke-14 yang dengan janji-janji palsu, dan pemimpin mereka enggan menerima hakikat bahawa mereka sekarang tidak lagi berkuasa.

"Ada pun peranan politik boleh ditunggu sehinggalah PRU-15 diadakan, rakyat pula jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali," kata Hadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS