Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand akan menyiasat dakwaan berlangsungnya majlis akad nikah secara dalam talian dikatakan melibatkan timbalan menteri PN, kata laporan.
Pihak berkuasa agama wilayah selatan negara jiran itu juga dipetik Astro Awani memaklumkan akan memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang didakwa menjalankan akad nikah itu.
Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat menjelaskan pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.
"Kita akan panggil imam itu, untuk dapatkan maklumat, kita akan tanyakan perkara itu, kerana majlis agama tidak bagi kebenaran nikah menggunakan telefon (online)," katanya lapor Astro Awani.
Abdul Aziz dipetik berkata demikian ketika diminta mengulas satu rakaman pernikahan melalui telefon yang didakwa membabitkan seorang ahli parlimen di Kelantan berserta dua saksi.
Sejak semalam tular di media sosial dakwaan video dan salinan sijil nikah pemimpin berkenaan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya secara bebas.
Sijil nikah yang didakwa itu menunjukkan tarikh pernikahan pada 1 Jun lepas.