Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Henti sebar gambar, video bunuh diri
Diterbitkan:  Jul 4, 2021 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Statistik kejadian bunuh diri di Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan ini telah mula dirasakan pada tahun 2020 dengan 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 468 kes bunuh diri dicatatkan.

Sekiranya trend ini berterusan dan tiada langkah pro-aktif dilakukan untuk membendungnya, tidak mustahil Malaysia akan mencecah angka 1000 kematian akibat bunuh diri pada tahun ini.

Di peringkat dunia, kira-kira 800 ribu kes bunuh diri dicatatkan setiap tahun.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan angka ini akan meningkat kepada sejuta kematian setahun atau satu kematian setiap 20 saat menjelang tahun 2021.

Kejadian bunuh diri amat berkait rapat dengan masalah kesihatan mental manusia. Sudah pasti penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini menjadi penyumbang utama kepada peningkatan masalah mental ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pandemik Covid-19 memberi impak amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Di Malaysia, statistik panggilan bantuan yang diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 sehingga 20 Mei 2021, mendapati 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Peratusan ini membuktikan kaitan rapat pandemik Covid-19 dengan masalah mental yang dialami oleh masyarakat.

Mutakhir ini, hampir setiap hari kita akan dihidangkan dengan berita kejadian bunuh diri sama ada yang berlaku di negara kita mahupun di luar negara.

Di semua platform media, sama ada edisi cetak mahupun elektronik, dari sumber rasmi mahupun tidak rasmi, berita kejadian bunuh diri ini menjadi semakin sensasi.

Bagi menjadikan berita itu lebih menarik, pihak yang menyampaikan berita sangat teruja untuk mengongsikan video ataupun gambar kejadian bunuh diri tersebut.

Berita sensasi ini pula amat mudah menular melalui pelbagai cabang media sosial terkini seperti Whatsapp, Facebook dan sebagainya.

Tanpa kita sedari perbuatan berkongsi video atau gambar kejadian ini sebenarnya berpotensi mengakibatkan meningkatnya kejadian bunuh diri dalam kalangan masyarakat kita.

Adakalanya pelaporan berita bunuh diri ini boleh menimbulkan rasa simpati kepada pelaku hingga ada dalam kalangan pembaca yang menganggap perbuatan bunuh diri itu adalah wajar.

Kita tidak begitu risau dengan pelaporan yang dibuat oleh agensi media rasmi dan berdaftar. Ini kerana kumpulan ini telah dilatih untuk melaporkan berita secara profesional dan tertakluk kepada etika-etika kewartawanan yang sejagat.

Walau bagaimanapun di era dunia internet tanpa sempadan sekarang ini, semua orang boleh bertindak sebagai “wartawan”.

Adakalanya wartawan tidak bertauliah ini lebih pantas dalam melaporkan sesuatu kejadian. Mereka selalunya teruja untuk memuat naik sesuatu kejadian yang menggemparkan di media sosial mereka.

Ini termasuklah kejadian bunuh diri. Sebagai contoh, insiden seorang lelaki terjun dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Video kejadian telah tular dengan amat pantas di media sosial hingga menimbulkan kengerian dan ketakutan awam.

Liputan berulang-ulang

Menurut Dr Madelyn Gould, Profesor Epidemiologi dalam Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Columbia, risiko penularan bunuh diri akibat pelaporan media dapat dikurangkan dengan laporan fakta bunuh diri yang tepat dan ringkas.

Laporan bunuh diri tidak boleh berulang-ulang, kerana pendedahan yang berpanjangan dapat meningkatkan kemungkinan penularan bunuh diri.

Kajian yang beliau lakukan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain membuktikan bahawa liputan bunuh diri yang berulang-ulang di media mempunyai kaitan yang signifikan terhadap peningkatan bunuh diri di negara berkenaan.

Lebih memburukkan apabila kebanyakkan berita terutama di media sosial itu turut disertakan dengan video ataupun gambar kejadian bunuh diri.

Bagi golongan yang sedang menghadapi masalah mental dan emosi yang serius, mereka sangat lemah dalam membuat pertimbangan baik buruk sesuatu tindakan.

Melihat gambar atau video bunuh diri adakalanya seperti memberi mereka idea dan pendorong untuk turut melakukannya. Dalam dunia psikatri, tindakan bunuh diri adalah bersifat “contagion” iaitu boleh mencetus kepada kejadian yang lain.

Banyak kajian telah membuktikan dengan melihat gambar atau video kejadian bunuh diri telah mencetuskan keinginan individu lain untuk turut sama mencubanya.

Penularan video dan gambar bunuh diri juga berisiko membahayakan golongan “copycat” yang kebanyakan terdiri daripada para ramaja dan orang muda.

Dr S Stack dalam Journal of Epidemiology & Community Health telah membawakan satu contoh klasik bagaimana golongan copycat ini amat terpengaruh untuk melakukan sesuatu yang mereka nampak atau baca.

Sebuah buku bertajuk Final Exit telah menggariskan panduan untuk membunuh diri bagi orang yang sakit parah iaitu dengan mengesyorkan tindakan menyekat pernafasan.

Buku ini mendapat sambutan yang baik di New York. Pada tahun Final Exit diterbitkan, jumlah bunuh diri dengan cara menyekat pernafasan di bandaraya New York meningkat 313 peratus dari lapan menjadi 33.

Selain daripada itu, naskah buku Final Exit turut ditemui di 27 peratus tempat kejadian bunuh diri di bandar tersebut. Sembilan puluh peratus bunuh diri menggunakan kaedah yang sama seperti yang dilakukan oleh model dalam cerita buku tersebut.

Penulis ingin menyeru semua peringkat masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membendung peningkatan kes bunuh diri ini.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menghentikan sebaran video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri.

Selain dari itu, pengguna media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan sebagainya boleh bertindak melaporkan kepada penyedia khidmat media sosial terbabit sekiranya menjumpai video atau gambar bunuh diri ini tersiar agar ianya dapat dipadam dan penularannya terhenti.

Tidak salah untuk kita menyebarkan berita kejadian tersebut, walau bagaimanapun kita juga perlu sedar kesan terhadap perkongsian yang dibuat itu.

Sebaran kita tanggungjawab kita. Kita jaga kita.


SHAFRY SALIM ialah Timbalan Pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS