Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adakah PN gugurkan saman Suku Temiar sebab PAS, soal Muda
Diterbitkan:  Jul 4, 2021 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendesak penjelasan kerajan Perikatan Nasional (PN) yang menggugurkan kes difailkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019 terhadap kerajaan Kelantan bagi pihak Orang Asli Suku Temiar.

Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet berkata kes yang difailkan semasa zaman PH ini melakar sejarah kerana julung kalinya kerajaan menyaman bagi pihak Orang Asli di atas kapasiti kerajaan persekutuan sebagai pelindung masyarakat kurang bernasib baik di Malaysia (parens patriae).

"Dalam kes ini, kerajaan negeri Kelantan didakwa telah memberi lesen kepada syarikat swasta untuk menjalankan aktiviti pembalakan di atas tanah Orang Asli Suku Temiar, yang secara langsung menyebabkan mereka kehilangan tanah adat dan menjadi mangsa pencemaran alam sekitar.

"Pada 6 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan persekutuan tiada kepentingan “locus standi” untuk memfailkan saman ini. Sungguhpun demikian, ia adalah terbuka untuk kerajaan persekutuan memfailkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan dalam masa 1 bulan.

"Persoalannya, mengapa kerajaan PN tidak berbuat demikian, dan bertindak menutup kes tersebut? Lebih-lebih lagi apabila kes ini menimbulkan persoalan undang-undang berkepentingan awam yang tidak pernah ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan persekutuan tidak memiliki lokus standi untuk menyaman bagi pihak Orang Asli Temiar dalam isu pertikaian tanah di Kelantan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Lau Bee Lan sebulat suara membuat keputusan hari ini dengan membenarkan permohonan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman kerajaan persekutuan, yang berkaitan dakwaan pencerobohan tanah adat Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan adakah keputusan itu diambil kerana PAS yang menerajui Kelantan kini membarisi Kerajaan PN?

Walau apapun katanya, perkembangan ini amat mendukacitakan.

"Mesej yang dihantar kerajaan PN adalah ia tidak mengambil berat terhadap isu pencerobohon tanah adat Orang Asli dan Orang Asal yang semakin berleluasa akibat pembalakan rakus di Malaysia terutamanya di Kelantan.

"Ia juga menghantar mesej bahawa kerajaan PN memandang remeh isu pencemaran alam sekitar di Malaysia.

"Muda menyaran agar peguam negara dan Kerajaan PN meneruskan kes ini dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada kadar segera, agar hak Orang Asli dan Orang Asal di Malaysia dapat terus dibela," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS