Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mengapa Pulau Pinang dikecualikan dari Fasa 2 PPN?'
Diterbitkan:  Jul 4, 2021 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Lim Guan Eng hari ini meminta kerajaan menjelaskan mengapa Pulau Pinang dikecualikan daripada lima negeri yang dibenarkan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Berdasarkan sains dan data, kata bekas ketua menteri itu, adalah tidak logik bagi Pulau Pinang untuk tidak memasuki fasa kedua PPN pada 5 Julai ini bersama Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.

"Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu menjelaskan mengapa Pulau Pinang dikecualikan dari Fasa 2 PPN ketika Pulau Pinang telah menunjukkan prestasi yang lebih baik pada (beberapa) nilai ambang yang ditetapkan berbanding Pahang," katanya.

Lim yang juga ahli parlimen Bagan menegaskan pun begitu dia tidak ada halangan untuk Pahang dibenarkan memasuki Fasa 2 PPN.

"Tetapi isu kontroversi di sini ialah mengapa Pulau Pinang tidak dimasukkan sama. Antara nilai ambang yang ditetapkan adalah purata tujuh hari kes Covid-19, kapasiti ICU dan kadar vaksinasi.

"Sebagai contoh, pada 3 Julai Pulau Pinang tidak mencatatkan kematian berbanding lima di Pahang, Pulau Pinang mencatatkan 142 kes baru berbanding 200 di Pahang, dan nombor pembiakan asas Covid-19 (R-0 atau R-naught) untuk Pulau Pinang adalah 1.02 berbanding dengan Pahang 1.24.

"Pada 3 Julai kadar vaksinasi untuk Pulau Pinang ialah 10.1 peratus berbanding dengan 12.2 peratus penduduk dewasa di Pahang, yang berada di atas nilai ambang 10 peratus untuk Fasa 2," tambahnya, walaupun harus diingat dalam hal ini, Pahang memiliki bilangan yang lebih baik.

Pada masa sama perlu dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebelum ini berkata dia yakin negeri itu akan memasuki Fasa 2 PPN minggu depan.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata setakat semalam, 9.9 peratus populasi dewasa di negeri itu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, dan dijangka akan mencapai sasaran 10 peratus esok.

"Dengan pencapaian ini, kami berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan agar Pulau Pinang dapat bergerak ke Fasa 2 PPN tidak lama lagi," katanya.

Namun, masih belum jelas mengapa Lim dan Chow mengeluarkan kenyataan yang berbeza mengenai perkara yang sama.

Semasa membuat pengumuman semalam, Ismail Sabri berkata kerajaan akan terus memantau indikator di lima negeri terbabit untuk melihat tanda-tanda kemajuan ke fasa ketika, selain situasi di negeri-negeri lain yang masih berada di fasa pertama.

Lim berkata kerajaan PN harus mengakui pendekatan berpusat gagal menghasilkan hasil yang diinginkan justeru mereka harus memberi peluang kepada kerajaan negeri dan anggota parlimen untuk menguruskan Covid-19 di kawasan masing-masing.

"Tidak ada alasan untuk negeri-negeri ini dikenakan hukuman setara dengan negeri lain yang mempunyai jangkitan harian yang lebih tinggi.

"Waktunya sudah tiba untuk desentralisasi dengan memberi kebenaran kepada kerajaan negeri dan anggota parlimen memutuskan apa pendekatan terbaik mengenai sekatan PKP atau waktu operasi perniagaan di wilayah masing-masing.

"Ini juga akan mendorong pertanggungjawaban dan ketelusan dan bukannya satu ukuran yang sesuai dengan semua formula yang menghukum tingkah laku baik dan buruk.

"Marilah kita memberi penghargaan kepada mereka yang mematuhi SOP Covid-19,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS