Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima negeri masuk Fasa 2 Pelan Pemulihan pada 5 Julai

Kerajaan persekutuan hari ini mengumumkan bahawa lima negeri telah berjaya mencapai ketiga-ketiga nilai ambang Fasa 2 kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Lima negeri tersebut adalah Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak dan peralihan dibuat bermula 5 Julai ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam sidang media hari ini.

Kriteria utama untuk memasuki Fasa 2 adalah kes harian Covid-19 di bawah 4,000; kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap "sederhana"; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Nilai ambang bagi setiap negeri ditetapkan berdasarkan jumlah penduduk negeri tersebut.

Pengiraannya adalah seperti berikut:

Berdasarkan carta yang ditunjukkan, dari segi kes baru harian, Perlis berada di Fasa 4 manakala Terengganu dan Sabah di Fasa 3.

Bagaimanapun, mengikut Pelan Pemulihan Negara, kriteria kapasiti ICU dan kadar vaksinasi juga perlu dicapai sebelum peralihan fasa dapat dibuat.

Daripada lima negeri itu, Zafrul berkata Kelantan dan Terengganu khususnya mencatatkan pengurangan kes Covid-19 hampir 80 peratus sejak April.

Sementara itu, Ismail berkata sebahagian besar kes harian di Selangor memberi kesan kepada semua negeri lain dan oleh itu pengumuman peralihan ini lebih adil kepada kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, antara perubahan dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi Fasa 2 adalah pasangan jarak jauh (PJJ) boleh meminta kebenaran polis untuk melakukan perjalanan merentas daerah atau negeri, dalam keadaan kecemasan atau keadaan khas termasuk kelahiran atau untuk membantu menjaga bayi yang baru dilahirkan.

Dia berkata kerajaan akan terus memantau indikator di semua lima negeri untuk tanda-tanda peralihan ke Fasa 3 dan juga untuk negeri-negeri lain untuk ke Fasa 2.

Ismail juga menegaskan bahawa perjalanan dari semua kawasan termasuk kawasan di bawah PKPD ke pusat vaksin dibenarkan dengan kelonggaran tiga orang dalam satu kenderaan, untuk menampung pengguna e-hailing dan teksi yang menemani orang tua atau orang kurang upaya.

 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS