Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Agong boleh titah usul undi percaya untuk tamatkan kebuntuan politik'

Yang di-Pertuan Agong boleh menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai kebuntuan politik pada masa ini yang menyaksikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diragui, menurut bekas peguam negara Tommy Thomas.

Memandangkan kerajaan telah setuju untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos, dia berkata Agong boleh menitahkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

"Ada satu penyelesaian bagi kebuntuan ini.

"Sekarang kita tahu Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos...Agong (boleh) memanggil perdana menteri dan beritahu 'keabsahan politik anda menjadi isu, tiada siapa yang berpuas hati dengan 112 (majoriti) anda, jadi dalam masa seminggu atau tiga hari Parlimen bersidang, anda harus lakukan usul undi percaya'," katanya.

Thomas berkata demikian dalam webinar bertajuk "Emergency, Democracy and The Rule of Law" anjuran Institut Sekhar hari ini. Palelis lain adalah bekas yang dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mula, naib presiden PKR Shamsuliskandar Mohd Akin, ketua Pemuda DAP Howard Lee serta pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.

Kata Thomas lagi, langkah seterusnya bagi yang dipertua Dewan Rakyat adalah menerima usul tersebut untuk dibahaskan.

Dia berkata satu hari perlu diperuntukkan untuk membahaskan usul tersebut sebelum - dan ia harus disiarkan secara langsung - dan disusuli dengan undian.

"Yang di-Pertuan Agong boleh kata kepada perdana menteri 'jika anda kalah, anda harus letak jawatan dan saya akan tubuhkan kerajaan baru dengan menentukan siapa yang ada majoriti'," katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan yang Parlimen akan kembali bersidang sebelum 1 Ogos.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan Muhyiddin dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada 7 Julai ini.

Sidang Parlimen digantung sejak 11 Januari lalu susulan penguatkuasaan darurat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS