Pelajar di kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang sebelum ini tidak diberi banyak pilihan pengajian kerana keadaan itu, mendapat kira-kira 10 lagi pengajian untuk dipilih - hanya beberapa hari sebelum tarikh tamat permohonan.
Ia selepas Malaysiakini membangkitkan kesukaran dihadapi Karishma (bukan nama sebenar) yang hanya diberi 22 kursus prauniversiti untuk dipilih di sistem UPU Online ekoran keadaannya.
"(UPU Online) buat perubahan pada pilihan. Sebelum ini 22 pilihan, kini ada hampir 275 kursus yang saya boleh pilih," katanya kepada Malaysiakini.
Karishma jatuh sakit selepas SPM, yang menyebabkan masalah untuk bergerak. Dia sekarang boleh bergerak dengan menggunakan tongkat atau kerusi roda.
Terdahulu, dia mendakwa dinafikan kemasukan ke beberapa universiti kerana keadaannya, berdasarkan respons yang diterima daripada sistem maklum balas laman web UPU Online
Menurut Karishma yang mendapat 9A dalam SPM, dia memeriksa laman web UPU setiap hari, termasuk pada pagi 30 Jun. Ketika membuat pemeriksaan di sebelah malam hari tersebut, dia melihat ia telah dikemas kini.
UPU Online adalah sistem permohonan dalam talian untuk pelajar memohon kursus pengajian di IPTA.
Peringkat kemas kini bagi sesi akademik 2021/2022 pada mulanya dibuka untuk tujuh hari, bermula 15 Jun, bagi membolehkan pelajar lepasan SPM untuk mengemas kini permohonan mereka berdasarkan keputusan SPM.
Tarikh tutup kemas kini adalah hari ini (2 Julai).
Sementara itu, Renata (bukan nama sebenar), seorang lagi pelajar OKU yang berdepan masalah serupa, turut mendakwa telah mendapat lebih banyak pilihan pengajian.
Pelajar lepasan SPM 2020 itu pada mulanya menyuarakan masalah tersebut di Twitter.
Berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan, saya ada kira-kira 200 pilihan sepanjang peringkat permohonan, tetapi ia dikurangkan kepada 23 ketika peringkat kemas kini.
"Saya keliru sebab keputusan SPM saya 7A dan 2B. Saya semak kelayakan untuk setiap kursus yang saya nak ambil dan dapati saya layak, tetapi kursus tersebut tak muncul dalam senarai pilihan (di UPU Online)," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya lagi, dia kemudian menghubungi kumpulan pelajar, Concerned UM Indian Graduates (Cumig) yang kemudian memaklumkan kepadanya tentang masalah sama yang dihadapi Karishma.
"Ketika itu saya sedar ia kerana saya kurang upaya dan bukan saya seorang saja yang menghadapinya," katanya lagi.
Bagaimanapun, pada pagi semalam, dia mendapati dia kembali dapat memilih semula kursus yang dipohonnya sebelum ini dan menghantar permohonan pada hari sama.
Walaupun bilangan pilihan yang diberikan kepadanya meningkat begitu banyak, Karishma berkata dia tidak begitu teruja dengan pilihan yang ada.
"Saya tak berminat dengan kebanyakan pilihan yang diberikan," katanya sambil menambah dia juga sedang menimbang untuk memohon biasiswa atau menyambung pengajian di institusi swasta.
Sebelum ini, dia dilaporkan telah disenarai pendek untuk Program Prauniversiti ASASIpintar UKM (APP) dan telah menghadiri temu duga serta menyediakan semua dokumen yang diperlukan, termasuk hantaran video.
Pemohon yang disenarai pendek dimaklumkan menerusi emel pada 6 Mei, beberapa bulan selepas Karishma pertama kali membuat permohonan di UPU Online pada Mac.
Bagaimanapun permohonannya "hilang" ketika peringkat kemas kini dan dia hanya diberi dua progam diploma dan 20 program sijil kolej komuniti untuk dipilih.
Pada 23 Jun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan menafikan dakwaan permohonan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi ditolak kerana kurang upaya.
Seorang jurucakap kementerian pula memberitahu Malaysiakini yang sistem UPU Online menolak permohonan secara automatik jika seseorang pelajar itu tidak melepasi syarat umum.
Dia juga berkata Karishma mendapat B + untuk Biologi. Karishma mengesahkan perkara itu.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pengajian Tinggi.