Bekas pekerja kontrak ‘Personal MySTEP’ di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Selangor meluahkan rasa kecewa apabila tiada sebarang pelan tindakan serta bantuan oleh kerajaan sejurus tempoh kerja mereka tamat.
Mereka berpendapat adalah tidak adil untuk pekerja kontrak dipanggil bekerja ketika kerajaan memerlukan, namun diberhentikan tanpa sebarang susulan bantuan.
Seorang bekas pekerja kontrak ‘Personal MyStep’ JKM yang mahu dikenali sebagai Azri berkata, menteri dan kerajaan perlu mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
“Kami bekerja sebagai pekerja kontrak selama tiga bulan dan mula bekerja pada 15 April 2021 serta tamat kerja pada 30 Jun 2021.
“Kami faham dengan maksud kontrak tapi dalam situasi pandemik sekarang, perkara ini amat sukar dan menteri serta kerajaan harus pikul tanggungjawab dalam menjaga rakyat yang bekerja untuk mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Azri yang menyara empat orang anak berkata, tempoh tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 juga menyukarkan dia mencari pekerjaan baru.
"Banyak tempat saya telah mohon kerja dan salah satunya menjadi sukarelawan MyVac (di pusat vaksin), tetapi ditolak kerana sudah penuh,”katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung isu ini.
Untuk rekod, ‘Personal MySTEP’ adalah satu inisiatif kerajaan dalam permohonan kerja jangka masa pendek sebagai langkah menangani isu pengangguran semasa pembentangan Belanjawan 2021.
Sementara itu, Azri berkata pada bulan Mei lepas, dia dimaklumkan kemungkinan besar pekerja kontrak ‘Personal MySTEP’ akan disambung sehingga akhir tahun ini.
“Tapi, pada 12 Jun lalu, kami dapat tahu kontrak ini tidak akan disambung apabila kawan saya bertanyakan hal ini dalam group WhatsApp kepada orang atasan.
“Mereka menyatakan kontrak ini tidak akan disambung tanpa sebarang penjelasan, jadi kami terkejut kerana kami dimaklumkanpun apabila isu ini ditanya dan diusul oleh salah seorang pekerja.
“Kenapa JKM tidak memaklumkan hal ini lebih awal supaya kami boleh buat persiapan untuk mencari kerja baru atau alternatif lain yang ketika ini semua orang sedang susah dalam mencari kerja untuk makan dan minum,” jelasnya lagi.
Bagi seorang lagi bekas pekerja kontrak ‘Personal MySTEP’ yang mahu dikenali sebagai Marina, dia menyuarakan rasa terkilan apabila ada di antara rakannya yang berkerja di JKM negeri lain dapat menyambung kontrak sehingga hujung tahun.
“Tetapi, di tempat saya ini, apabila saya tanya pegawai JKM di Selangor mengenai kebarangkalian untuk kami sambung kerja memandangkan kontrak kami hanya tiga bulan, dia kata kemungkinan besar tidak (disambung) disebabkan peruntukan tidak mencukupi.
“Selain itu, disebabkan PKP yang terus berpanjangan, kami tidak dibenarkan untuk ke pejabat, sedangkan pekerja tetap pun hanya beberapa peratus sahaja yang dapat datang ke pejabat. Jadi mereka merasa tiada keperluan untuk menyambung kontrak kami yang bekerja sebagai pekerja kontrak sahaja,”jelasnya.
Menurut seorang lagi bekas pekerja yang mahu dikenali sebagai Rahman, dia mengalami tekanan perasaan dalam menghadapi situasi sekarang.
Tekanan bertambah apabila mukim yang didudukinya di Selangor turut terlibat dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) semalam, sekali gus menghalang pergerakan untuk mencari kerja baru.
“Selepas tamat kerja, saya mengalami tekanan perasaan akibat hilang mata pencarian kerana sekarang saya menanggung anak kecil dan ibu di rumah.
“Saya terpaksa berhutang dengan kawan untuk mencari duit dalam melangsungkan kehidupan dan modal dalam mencari pekerjaan baru sementara menunggu gaji terakhir ‘Personal MySTEP’ masuk.
“Saya harap, ketika keadaan amat terdesak dan kritkal sekarang, apabila kami diberhentikan kerja kontrak tiga bulan, ada bantuan susulan untuk kami meneruskan hidup,” jelasnya lagi.
Mereka berkata, aduan telah dibuat dan telah menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Mohd Harun melalui Facebook messenger, namun tiada maklum balas.