Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta pada LHDN bermula April 2022
Diterbitkan:  Jul 2, 2021 3:50 PM
Dikemaskini: 6:08 PM

Kes bekas pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bermula April tahun depan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan selama 11 hari bermula 6 April serta enam hari dari 17 hingga 19 Mei dan 23 hingga 25 Mei, tahun hadapan.

“Perbicaraan kes akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan mahkamah juga menetapkan 11 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar hari ini.

Prosiding dalam talian itu turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat dan Rasyidah Murni Azmi manakala peguam Syahrul Syazwan Salehin, mewakili Shahrir.

Shahrir, 71, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013.

Cek itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Justeru, Shahrir didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS