Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis terima laporan siswa ingkar SOP ambil bungkusan kurier
Diterbitkan:  Jul 2, 2021 8:44 AM
Dikemaskini: 12:44 AM

Polis mengesahkan telah menerima satu laporan berkaitan sekumpulan individu dipercayai penuntut sebuah institut pengajian tinggi yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika mengambil bungkusan daripada sebuah syarikat kurier.

Pelanggaran SOP didakwa berlaku di hadapan pintu utama universiti berkenaan di Seri Iskandar, seperti yang tular di laman media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata laporan berkenaan dibuat kira-kira pukul 6 petang di Balai Polis Seri Iskandar hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati hantaran rakaman video berdurasi enam saat yang dikongsi seorang pemilik akaun media sosial semalam memaparkan sekumpulan individu sedang berkumpul beramai-ramai bagi mengambil bungkusan yang diedarkan sebuah syarikat penghantaran tanpa mematuhi SOP PKP dan telah mendapat sebanyak lebih 32 ribu tontonan.

“Kejadian dipercayai berlaku di hadapan pintu utama universiti berkenaan di Seri Iskandar kira-kira pukul 7 malam, semalam. Penyerahan barangan terbabit adalah diluar pengetahuan pentadbiran universiti dan diuruskan oleh syarikat kurier berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Parit hari ini.

Barudin berkata transaksi penyerahan berlaku di luar pagar, berhampiran pintu utama universiti yang pada awalnya, pelajar yang hadir mengikuti SOP dengan berbaris dan kemudian menjadi tidak terkawal.

Beliau berkata siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti pekerja syarikat penghantaran dan pelajar-pelajar universiti yang berada dalam video berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Perkara 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB), Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS