Lebih ramai pemimpin PAS tampil memberi kenyataan yang dilihat tidak sehaluan dengan kempen mengibarkan bendera putih di rumah bagi keluarga yang memerlukan bantuan makanan di tengah-tengah wabak Covid-19.
Ahli jawatankuasa kerja parti itu, Mokhtar Senik menyifatkan kempen itu "seolah-olah kelihatan benar, tetapi tujuannya batil".
Mokhtar menyifatkan ia mempunyai tujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Kalau angkat bendera itu sekadar untuk memberitahu masih ada mangsa yang tertinggal, saya setuju jika setakat itu.
"Tapi pengamatan saya tidak mengatakannya setakat itu sahaja, kerana ia terangkum dalam tujuan dan maksud menjatuhkan kerajaan PN yang ada.
"Jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar tapi bendera DAP yang akan naik. Maaf, jika pengamatan saya tidak betul. Tapi perhatikan betul-betul," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas dua pemimpin utama PAS sebelum tidak setuju dengan kempen kibarkan bendera putih.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berpendapat bahawa rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dan mengangkat bendera.
Nik Abduh sebaliknya meminta mereka yang diuji menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.
Manakala, Rosli berkata bahawa ada cara lain yang lebih baik dan menjaga maruah untuk orang ramai meminta bantuan.
Sementara itu, Mokhtar turut meminta para ustaz tidak cepat melatah sehingga, menurutnya, terperangkap dengan isu yang dipolitikkan oleh pembangkang (PH).
"Kerana dalam dunia politik ini banyak perkara yang kelihatan ‘benar’ tapi tujuannya adalah batil," katanya.
'Isu maruah kumpulan masing-masing'
Pandangan yang hampir sama dikongsi oleh Mohd Nasir Abdullah, penulis Harakah, lidah rasmi PAS.
Dalam ulasannya, Nasir berkata bahawa kempen ini satu agenda pembangkang.
"Sekiranya anda dari kalangan politikus, anda akan sentiasa melihat kepada pergerakan lawan anda. Isu mengibarkan bendera ini adalah isu maruah kepada kumpulan masing-masing.
"Jika banyak bendera terkibar, ia boleh dianggap kegagalan rancangan kerajaan bagi sesetengah pihak. Manakala jika kurang atau tiada kibaran dibuat, bermakna kempen ini memakan diri pembangkang.
"Pakej pemulihan kerajaan akan dilihat sebagai berjaya oleh rakyat. Dan mereka tetap akan berlawan selepas ini. Ini adalah tabiat dalam politik," katanya.
Untuk rekod PAS ketika ini adalah sebahagian daripada kerajaan dan menjadi anggota komponen gabungan PN.
Kempen kibar bendera putih merupakan usaha yang digerakkan rakyat Malaysia di media sosial.
Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.
Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera
'Cuba gambarkan kerajaan gagal'
Sementara itu, Gerakan Pembela Ummah (Ummah), sebuah NGO yang dilihat pro-PAS berpandangan bahawa kempen ini sebagai ada pihak yang cuba membawa naratif bendera putih bagi menggambarkan kerajaan gagal dan rakyat susah dan memerlukan bantuan.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata ‘trending’ yang cuba dipopularkan oleh sesetengah pihak bagi mengajak rakyat mengibarkan bendera putih untuk menggambarkan kekalahan dan rakyat memerlukan bantuan dan sumbangan bagi menggambarkan kepada kegagalan kerajaan, adalah suatu tindakan yang sangat terdesak.
"Ummah pernah menjadikan tema putih ini sebagai tanda kesatuan rakyat dan perpaduan ummah bagi menjayakan satu himpunan yang terbesar di negara ini bagi menunjukkan kemenangan rakyat membantah ICERD, iaitu Himpunan Ummah Membantah ICERD pada 8 Disember 2019 yang diakui oleh semua pihak.
"Trending himpunan rakyat ini adalah putih dengan tema rakyat berpakaian putih bagi menggambarkan kesatuan ummah.
"Putih adalah warna kemenangan kita bersolidariti membantu kesusahan rakyat dan ummah, jauh sekali dan bukan sebagai tanda kegagalan bagi mencipta serangan dan persepsi negatif kepada kerajaan gagal pada hari ini," katanya.