Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat ciapan dakwa salah guna data dalam MySejahtera

Polis hari ini memanggil ketua eksekutif NGO kesihatan Galen Centre, Azrul Mohd Khalib berhubung ciapannya lapan bulan lalu yang mempersoalkan penggunaan data dalam aplikasi MySejahtera dalam penguatkuasaan undang-undang.

Ketika dihubungi, Azrul berkata dia disoal siasat selama dua jam di ibu pejabat polis di Bukit Aman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

"Mereka ambil telefon saya dan saya perlu cari kad sim dan telefon yang baru," katanya, sambil menambah polis tidak mendedahkan pihak yang membuat laporan terhadap ciapan tersebut.

Pada 12 November tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid dilaporkan berkata, polis akan menggunakan pendaftaran di MySejahtera untuk mengesan 400 penduduk Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Mereka didakwa melarikan diri daripada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di situ pada 12 hingga 25 November.

Azrul kemudian didakwa membuat ciapan keesokannya dengan berkata, penggunaan data seumpama itu adalah satu salah guna dan menggalakkan orang ramai lebih menjaga dan berwaspada berhubung data peribadi masing-masing.

Dalam satu kenyataan, Azrul berkata kerajaan tahun lalu memberi jaminan bahawa kebimbangan terhadap keselamatan dan perlindungan data peribadi orang ramai adalah tidak berasas.

"(Kerajaan juga kata) mereka boleh dipercayai dalam menjaga keselamatan data dan penggunaan MySejahtera adalah terhad.

"Disebut secara khusus yang data yang dikumpul daripada MySejahtera dianggap sebagai data perubatan sulit di bawah Akta Perubatan 1971.

Katanya lagi, walaupun kerajaan persekutuan dikecualikan daripada peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Kementerian Kesihatan berulang kali memberi jaminan untuk melindungi data pengguna MySejahtera.

"Walaupun pembangunan aplikasi MySejahtera berniat baik, ia tidak kebal daripada risiko terdedah dan salah guna yang telah berlaku kepada aplikasi berkaitan Covid-19 seumpamanya di negara lain," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS