Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara pengubahan wang haram RM9.5 juta Shafee ditangguh 22 Julai

Perbicaraan terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak akan disambung pada 22 Julai.

Ini selepas perbicaraan yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0).

Perbicaraan sepatutnya bersambung pada 4 Jun lalu di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin sebelum ditangguhkan ke hari ini disebabkan bermulanya PKP pada awal minggu tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa perbicaraan hari ini dibatalkan akibat fasa 1 PKP 3.0.

"(Perbicaraan disambung dari) 22 hingga 23 Julai, berdasarkan tarikh yang ada (sebelum ini) ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Ketika perbicaraan pada 28 Mei lalu, seorang wartawan kanan Malay Mail mengesahkan bahawa Shafee mengeluarkan kenyataan media mengenai RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib.

Pihak pendakwaan berpendapat Shafee memberikan penjelasan yang tidak konsisten mengenai tujuan wang RM9.5 juta itu, antaranya melalui kenyataan media di mana peguam itu  mendakwa ia merupakan pinjaman.

Shafee berdepan empat pertuduhan berkaitan dengan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib melalui dua cek di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Sept 2018.

Peguam itu didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram melebihi RM9.5 juta yang diterima melalui dua pembayaran, iaitu RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan pembayaran kedua pada 17 Feb 2014 sebanyak RM5.2 juta.

Shafee, 69 dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS