Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Moratorium: Perlu solusi menang-menang antara peminjam dan bank

Ibarat ‘rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’, itulah yang boleh diumpamakan dengan ‘khabar gembira’ mengenai moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Isnin lepas.

Apa yang pasti, pengumuman moratorium atau ‘mora’ dalam kalangan warga media sosial merupakan antara bantuan yang paling dinantikan terutamanya dalam keadaan rakyat semakin dihimpit kesusahan dan tertekan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas bagi mengekang penularan COVID-19.

Namun, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman itu, kedengaran pelbagai suara kekeliruan rakyat terutama selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memperjelaskan penawaran moratorium itu sama kepada peminjam individu atau perniagaan, bukan sifar kadar faedah sepanjang tempoh penangguhan.

Menjelas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, bank bagaimanapun tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium dan pelaksanaan penangguhan pembayaran yang diumumkan kali ini, sama konsepnya seperti yang diumumkan ketika PKP 1.0 tahun lepas.

Untuk rekod, Malaysia merupakan antara negara pertama di dunia yang memperkenalkan moratorium secara automatik selama enam bulan, pada April tahun lepas yang melibatkan 7.7 juta rakyat Malaysia atau 93 peratus daripada peminjam individu.

Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuat kuasa bermula 1 April 2020 sehingga 28 Ogos 2020, berjumlah RM81.9 bilion yang melibatkan sebanyak RM28.6 bilion nilai moratorium bagi sektor perniagaan dan mencecah RM53.3 bilion telah dimanfaatkan peminjam individu.

Usaha membantu rakyat dan perniagaan ketika mengharungi tempoh mencabar akibat COVID-19 dengan melaksanakan moratorium ternyata memberi impak positif terutamanya dalam membantu menyediakan lebihan aliran tunai kepada rakyat dan peniaga untuk berbelanja khususnya barang keperluan harian dan makanan serta seterusnya menyokong pergerakan ekonomi.

Kesan positif moratorium sebelum ini juga dapat dilihat melalui pemulihan ekonomi negara secara berperingkat termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mengukuh pada Mac 2021 apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus.

Ia juga telah berjaya membantu perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneruskan survival perniagaan masing-masing selain berjaya mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.6 peratus pada April 2021.

Berdasarkan kesan positif itu, penangguhan pinjaman atau moratorium dijadikan satu pendekatan penting yang dimasukkan dalam pakej PEMULIH yang diumumkan perdana menteri membabitkan semua peminjam individu golongan B40, M40, T20 serta usahawan mikro.

Antara lain, permohonan yang dibuka mulai 7 Julai ini akan dipermudahkan dengan diberikan kelulusan secara automatik tanpa perlu menghantar sebarang dokumen dan semakan.

Sudah pastinya rakyat yang dalam kesusahan, amat mengharapkan moratorium ini dapat membantu mendapatkan tambahan wang tunai bagi tempoh enam bulan ke hadapan, terutamanya ketika melalui situasi pandemik yang tidak menentu dengan langkah kawalan pergerakan yang masih dilaksanakan di seluruh negara.

Namun, kadar faedah semasa yang tetap dikenakan pihak bank ketika tempoh penangguhan pinjaman perlu dipertimbangkan bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan ketika ini.

Solusi menang-menang harus difikirkan pihak bank yang mengenakan kadar faedah semasa moratorium agar ia tidak membebankan rakyat, demikian menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed.

“Kadar faedah semasa moratorium perlu berdasarkan kepada bayaran ansuran selepas moratorium sehingga tamat pinjaman.

“Sekiranya pembayaran pinjaman dilaksanakan dengan teratur tanpa sebarang tunggakan setiap bulan, bank sepatutnya boleh mengecualikan kadar faedah semasa moratorium,” katanya kepada Bernama.

Ini kerana, pihak bank telah pun memperoleh keuntungan daripada bayaran ansuran tersebut sehingga tamat pinjaman.

Tambahan pula, ketika pelaksanaan moratorium secara automatik pada tahun lepas, pihak bank masih lagi meraih keuntungan malah, terdapat bank memperoleh keuntungan bersih melebihi RM6 bilion bagi tahun 2020, katanya.

“Walaupun keuntungan mereka berkurangan pada 2020 berbanding 2019, namun pada ketika rakyat amat tertekan dengan masalah kewangan ketika ini, pelaksanaan moratorium selama enam bulan tanpa syarat ini adalah satu langkah terbaik kerajaan dan bertepatan dengan keadaan semasa yang amat mencabar.

“Mengambil contoh Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Kumpulan Public Bank, masing-masing melaporkan keuntungan bersih RM6.48 bilion dan RM4.87 bilion bagi kewangan berakhir 31 Dis 2020. Jadi sepatutnya pihak bank boleh membuat pertimbangan perkara ini,” katanya.

Sudah tentu, pada waktu-waktu sukar begini, katanya pihak bank harus bersama-sama membantu dengan mendahulukan kepentingan pelanggannya dengan mempertimbangkan pengecualian kadar faedah semasa moratorium khususnya kepada individu yang membuat bayaran ansuran selepas tamatnya moratorium secara teratur tanpa tunggakan setiap bulan sehingga selesai pinjaman.

Menurut Anuar lagi, usaha ini juga secara tidak langsung dapat menggalakkan rakyat membayar ansuran bulanan secara konsisten tanpa tunggakan sekiranya inisiatif ini dilaksanakan pihak bank.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS