Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dengan program vaksin sendiri, S'gor sasar capai imuniti kelompok pada Oktober
Diterbitkan:  Jun 30, 2021 10:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Kerajaan Selangor menyasarkan 80 peratus penduduk dewasa negeri itu akan menerima vaksin menjelang Oktober tahun ini, yang menurutnya 100 hari lebih awal daripada jadual.

Sasaran itu selepas kerajaan negeri melancarkan inisiatif vaksin sendiri hari ini yang dinamakan "Vaksin Selangor" atau Selvax.

Melibatkan pemberian vaksin secara percuma dan juga berbayar, inisiatif ini bertujuan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) yang dikendalikan kerajaan Persekutuan.

Dalam pengumumannya tengah hari ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata sebanyak 2.5 juta dos vaksin Coronavac keluaran Sinovac akan diberi kepada 1.25 juta penduduk menerusi Selvax.

"Usaha ini dijangka menambah kapasiti harian vaksinasi dan mampu memendekkan jangka waktu yang signifikan sekitar 100 hari lebih awal dengan sasaran vaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa di Selangor selesai pada Oktober 2021," katanya ketika pelancaran inisiatif tersebut yang disiarkan di Facebooknya.

Sasaran itu lambat dua bulan daripada unjuran yang dibuat Menteri Penyelaras Pick Khairy Jamaluddin sebelum ini, iaitu pada Ogos.

Dengan Selvax dan Pick, Amirudin berkata Selangor menjangka akan memberi 135,000 dos vaksin sehari pada Julai. Pada Ogos, angka itu dijangka meningkat kepada 165,000 dos sehari.

Dia berkata di bawah Pick sahaja, semua penduduk dewasa Selangor dijangka akan menerima vaksin paling awal Disember ini.

Walaupun menjadi negeri dengan kes baru dan kematian tertinggi, Selangor yang berkepadatan tinggi ketinggalan dari segi kadar vaksinasi.

Setakat 29 Jun, sejumlah 914,648 (14 peratus) penduduk Selangor telah menerima dos pertama, manakala 287,124 (4.4 peratus) telah menerima kedua-dua dos.

Sementara di Sarawak, seramai 1.03 juta (36.6 peratus) penduduk telah menerima dos pertama dan 246,259 (8.7 peratus) penduduk telah menerima kedua-dua dos.

Vaksin percuma - Selvax Komuniti

Amirudin berkata inisiatif ini terbahagi kepada dua, iaitu Selvax Komuniti dan Selvax Industri.

Di bawah Selvax Komuniti, sebanyak 500,000 dos akan diberi secara percuma kepada 250,000 penduduk, dengan sasaran 181,000 dos diberi pada bulan depan.

Mereka yang layak menerima vaksin secara percuma termasuk warga emas, golongan B40 dan kalangan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) kerajaan negeri sebelum ini.

Antara skim IPR adalah Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

Tiga exco kerajaan negeri yang akan bertanggungjawab untuk program ini adalah Dr Siti Mariah Mahmud, Borhan Aman Shah and Ng Sze Han.

Vaksin berbayar - Selvax Industri

Sementarai itu, menerusi Selvax Industri, syarikat dapat membeli vaksin untuk pekerja mereka, sama ada warga tempatan mahupun asing.

Dua juta dos - dengan sejuta penerima - diperuntukkan untuk program ini.

Amirudin tidak mendedahkan bayaran yang akan dikenakan tetapi menegaskan hanya syarikat yang boleh membelinya dan bukan individu.

Katanya, antara syarikat yang telah mendaftar untuk program ini adalah rangkaian pasar raya 99 Speedmart, firma audit Ernst and Young, syarikat pemaju EcoWorld, syarikat pemaju Tropicana, Telekom Malaysia dan TouchNGo.

"syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka. Ini telah termaktub dalam perjanjian dan borang ‘consent form’.

"Tindakan undang-undang boleh diambil kepada para majikan yang mengenakan caj caj bayaran kepada para pekerja," katanya.

Dua exco kerajaan negeri yang akan bertanggungjawab untuk program ini adalah Teng Chang Khim dan Rodziah Ismail.

Pendaftaran menerusi Selangkah

Syarikat berkaitan kerajaan negeri, Selgate Corporation akan mengendalikan Selvax.

Kira-kira 5,000 petugas dijangka untuk memberi suntikan di 26 pusat pemberian vaksin (PPV) dan 1,228 klinik swasta di seluruh Lembah Klang.

Daripada 26 PPV, lima daripadanya adalah kategori PPV mega manakala enam lagi di dewan komuniti. Baki 15 lagi PPV adalah di klinik Selcare.

Terdahulu, kerajaan Selangor memperuntukkan RM200 juta untuk membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga bagi inisiatif ini. Vaksin untuk Selvax diasingkan daripada bekalan untuk Pick.

Pendaftaran Selvax boleh dibuat di laman web Selangkah Vax dan aplikasi Selangkah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS