Buntu serta tertekan memaksa seorang ibu tunggal memacakkan bendera putih di hadapan rumah sebagai tanda meminta pertolongan daripada orang sekelilingnya.
Rohayah Che Samah, 50, berkata dia bertindak sedemikian kerana keadaannya yang semakin kekurangan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan seharian malah turut kehabisan beras sejak tiga hari lepas.
Rohayah yang tinggal bersama anak perempuan bongsunya, Amalina Kamaraddin, 14, berkata mereka hanya mengisi perut dengan biskut serta sumbangan makanan seperti kek yang diberikan jiran sejak 'terputus' bekalan beras.
"Saya pasang bendera putih selepas adik perempuan suruh berbuat demikian sebab saya selalu ceritakan masalah dialami kepadanya. Jadi, dia sarankan kepada saya gantung bendera putih supaya ada orang akan datang untuk tolong.
"Ikutkan saya pun tidak tahu mengenai (kempen) bendera putih ini. Alhamdulillah, selepas saya gantung ada pihak yang datang menghulurkan bantuan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.
Rohayah bersama Amalina menetap di sebuah rumah sewa berkeluasan kira-kira 300 kaki persegi di Kampung Pulau Kundor, Pengkalan Chepa, dekat sini.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata ketika ini, dia juga mengalami masalah kewangan kerana hanya bergantung kepada upah mewarna batik dengan bayaran RM2 untuk sehelai kain.
"Paling banyak dalam sehari pun saya terima upah untuk tujuh helai kain batik, tambahan dengan Fasa Satu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini tidak banyak kain batik yang perlu diwarnakan.
"Anak-anak yang lain semua berada di Kuala Lumpur dan mereka juga tidak dapat membantu saya sebab masing-masing bekerja biasa sahaja dan turut terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19," katanya.
Menurut Rohayah, lebih merumitkan keadaan apabila dia tidak layak menerima bantuan daripada pihak berkuasa kerana tidak mempunyai surat penceraian rasmi.
Terdahulu, Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa ke rumahnya bagi memberikan sumbangan wang serta bekalan makanan kepada Rohayah selepas kibaran bendera putih di hadapan rumahnya tular menerusi WhatsApp dan Facebook, sejak pagi tadi.
Sumbangan itu disampaikan kepada Rohayah melalui Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Muhammad Abdul Munib Zakaria. Turut hadir Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang Muhammad Sulaiman dan Penghulu Mukim Pulau Kundor Rosli Mat Hussin.
- Bernama