Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat dilantik sebagai Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor yang baru menggantikan Najwan Halimi.
Chua yang juga Ketua Pemuda PKR Selayang dilantik memegang jawatan itu serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab yang mengesahkan pelantikan Chua dibuat selepas dipersetujui ketua Pemuda PKR peringkat cabang di negeri itu.
"AMK Malaysia yakin keputusan ini akan mampu memperkukuh kedudukan AMK di Selangor.
"AMK Malaysia menyeru seluruh anggota AMK khususnya di Selangor untuk memberi kerjasama dan sokongan padu kepada YB Chua Wei Kiat selaku Ketua AMK Selangor yang baharu dalam usaha kita untuk terus menjuarai isu-isu rakyat dan anak muda," katanya dalam kenyataan itu.
Semalam, seramai 17 pemimpin Pemuda PKR di Selangor tampil menyatakan sokongan kepada Najwan yang juga Adun Kota Anggerik yang dilucutkan jawatannya daripada mengetuai sayap berkenaan, kelmarin.
Daripada 17 pemimpin terbabit, 14 adalah ketua AMK peringkat cabang manakala baki tiga lagi timbalan ketua.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, mereka berkata pengguguran jawatan Najwan seperti yang diumumkan semalam dibuat tanpa sebarang asas atau alasan kukuh.
"Mewakili anggota AMK peringkat cabang seluruh Selangor, kami membantah sekeras-kerasnya keputusan yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tidak melalui konsensus tersebut," katanya.
Sementara itu, Syukri berkata satu perjumpaan antara Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir bersama ketua-ketua Pemuda PKR peringkat Cabang di Selangor diadakan semalam.
Sesi rundingan itu, katanya bagi memenuhi tuntutan Perkara 12.4 yang termaktub dalam Peraturan Pemuda PKR 2014 dalam proses memilih ketua Pemuda PKR Selangor yang baru.
"Pertemuan secara maya itu dihadiri 18 ketua-ketua AMK Cabang yang sah dan rasmi di Selangor berdasarkan rekod Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan Cabang (MATAMKC) 2020.
"Tujuan pertemuan ini juga bagi mendengar pandangan dan maklum balas di samping untuk Ketua AMK Malaysia memberikan penjelasan mengenai keputusan serta hala tuju AMK," katanya.