Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenduri durian: Polis ambil keterangan Rashid dalam masa terdekat

Polis akan mengambil keterangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) fasa satu kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu selepas menerima laporan mengenai rakaman video yang memaparkan Rashid menyertai kenduri durian.

"Kita akan panggil YB (Rashid Hasnon) dalam tempoh terdekat selepas dia kembali dari Kuala Lumpur. Kita sudah berhubung dengannya dan dia akan beri kerjasama sepenuhnya.

"Insya-Allah dia akan datang ke IPD (ibu pejabat polis daerah) untuk diambil kenyataan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, rakaman video yang memaparkan Rashid bersama sekumpulan individu lain menikmati acara makan durian, tersebar di media sosial.

Pada mulanya dia berkata acara itu berlaku tahun lalu. Pembantunya juga mengatakan kehadiran individu di pesta durian itu dengan memakai pakaian yang sama dengan acara sebelumnya di Majlis Perbandaran Batu Pahat pada Ahad lalu, berlaku secara "kebetulan".

Bagaimanapun warga maya mempertikaikan penjelasan itu dengan mengemukakan beberapa perkara dalam rakaman video yang menurut mereka menunjukkan ia bukannya berlaku pada tahun lalu.

Hari ini, Rashid mengaku menyertai kenduri durian baru-baru ini dan meminta maaf atas kesalahannya.

Acara itu dikatakan berlangsung di kawasan Parlimennya, iaitu Batu Pahat pada Ahad lalu.

Dia juga berkata timbul kekeliruan apabila ditanya pihak media berkenaan video tersebut dan memberi jawapan tanpa menontonnya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata sehingga kini seramai 11 orang telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Ada beberapa orang lagi akan dipanggil," katanya lagi sambil menjelaskan kes itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Sementara itu, Rashid ketika dihubungi berkata beberapa individu yang turut serta dalam acara tersebut telah hadir ke Balai Polis Batu Pahat untuk diambil keterangan malam tadi.

Bagaimanapun, Rashid tidak mengulas lanjut bila dia akan hadir untuk berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS