Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan yang diumumkan baru-baru ini sebagai "bantuan kewangan kosmetik" dan "tidak bermakna".
Jelasnya, ini kerana ia bukan tanpa faedah dan hanya diberikan kepada individu, tetapi bukan syarikat.
"Sebenarnya, moratorium pinjaman bank yang bukan tanpa faedah adalah 'bantuan kewangan kosmetik' yang hanya akan memberi kesan kecil terhadap keuntungan bank dan dengan itu tidak mengurangkan kos pinjaman kepada peminjam.
"Beberapa penganalisis menganggarkan bahawa kesan terburuk terhadap keuntungan adalah antara 0 peratus hingga 6 peratus bagi kebanyakan bank.
"Jadi bagaimana pengecualian faedah terkompaun dan denda penalti pembayaran lewat oleh Kerajaan PN, benar-benar membantu peminjam membayar kos faedah yang sama ketika bergelut untuk meneruskan hidup dengan hampir tanpa pendapatan?
"Tidak memperluaskan moratorium automatik pinjaman bank kepada syarikat, terutamanya PKS, juga tidak akan membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi ketika kemelesetan ekonomi sekarang," kata Anggota Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini .
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam menjelaskan semalam bahawa moratorium pinjaman bank selama enam bulan yang diumumkan di bawah pakej bantuan kewangan Pemulih bukan tanpa faedah.
Namun, dia berkata dia telah meminta bank untuk mengetepikan faedah terkompaun (compounded interest) dan denda lewat bayar.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Lim membandingkan pemberian moratorium pinjaman baru-baru ini dengan pinjaman moratorium pertama yang diumumkan tahun lalu.
"Tidak seperti moratorium pinjaman pertama tahun lalu, faedah untuk pinjaman sewa beli tidak dikecualikan. Baki kad kredit tidak termasuk dalam moratorium, tetapi dibiayai semula menjadi pinjaman berjangka tanpa memberi kesan kepada faedah yang perlu dibayar.
"Tidak ada penjimatan tambahan untuk pemegang kad kredit dan peminjam sewa beli.
"Sekiranya pendapatan bank hanya terjejas sedikit atau tidak terjejas langsung, maka sudah pasti manfaat kepada peminjam adalah sekadar ilusi dan tidak bermakna," tambahnya.
Dia juga mengatakan bahawa industri perbankan harus bersedia berkorban sedikit keuntungan.
Kata Lim, industri perbankan mampu melakukan "pengorbanan kecil" ini setelah mencatat keuntungan selepas cukai yang sihat sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019 dan lebih daripada RM23 bilion pada tahun 2020 walaupun berlakunya pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
"Untuk tahun 2021, bank terus mencatatkan keuntungan yang baik dengan keuntungan bersih suku pertama Malayan Banking Bhd meningkat 16.71 peratus kepada RM2.39 bilion, daripada RM2.05 bilion tahun lalu.
"CIMB Group Holdings Bhd melaporkan keuntungan selepas cukai suku pertama tertinggi dalam sejarah mereka sebanyak RM2.46 bilion berbanding RM507.93 juta pada suku pertama tahun lalu," katanya.
Dia menggesa kerajaan PN untuk mengarahkan bank agar berkongsi keuntungan dan mengetepikan faedah bagi lapan juta syarikat dan peminjam individu yang memenuhi syarat moratorium pinjaman bank baru-baru ini.
Moratorium pinjaman bank selama enam bulan ini akan diberikan kepada semua peminjam, tanpa mengira tahap pendapatan mereka.
Bagaimanapun, permohonan perlu dilakukan dan ia akan diluluskan secara automatik.