Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia sedang menilai kesesuaian vaksin Pfizer untuk remaja - KJ

Pihak berkuasa sedang menilai sama ada vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 sesuai untuk diberikan kepada remaja atau tidak berikutan laporan risiko keradangan jantung, terutama di kalangan lelaki muda.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap vaksinasi Covid-19 negara, Khairy Jamaluddin, mengatakan bahawa mereka sedang memantau kemas kini mengenai kes seumpamanya.

"Saya dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah diberi penjelasan mengenai kesan sampingan miokarditis dan perikarditis yang melibatkan vaksin Pfizer.

"Ini tidak mempengaruhi keputusan kami untuk membeli Pfizer. Walau bagaimanapun, ini boleh mempengaruhi keputusan kami sama ada memberikan vaksin kepada remaja atau tidak.

"Kerana (kadar) kejadian miokarditis di kalangan remaja lelaki cukup tinggi," katanya pada sidang media maya yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Khas Memastikan Akses ke Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) siang ini.

Khairy mengatakan bahawa dia akan mengadakan perbincangan yang lebih terperinci mengenai perkara itu dengan Adham dan Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Baru-baru ini pihak berkuasa kesihatan Malaysia telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer untuk mengimunisasi populasi yang berumur 12 tahun ke atas. Sebelum ini, vaksinasi Covid-19 hanya disetujui untuk populasi dewasa negara berusia 18 tahun ke atas.

Namun, empat hari yang lalu, dilaporkan badan penyelis ubat-ubstsn AS telah menambahkan peringatan bahawa suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna Covid-19 boleh menyebabkan risiko radang jantung meski ia jarang berlaku.

Menurut Reuters, pengawal selia kesihatan di beberapa negara telah menyelidiki kes miokarditis dan perikarditis, lebih sering dijumpai pada lelaki muda, setelah suntikan Pfizer atau Moderna, vaksin yang berdasarkan teknologi mRNA.

Pusat Pengendalian Penyakit AS (CDC) mengatakan ia belum dapat mengesahkan hubungan kausal antara vaksin dan kes keradangan jantung, tetapi mencatat kejadian 12.6 kes per juta dos di kalangan orang berusia antara 12 hingga 39 tahun lebih tinggi daripada yang dijangkakan .

Walaupun begitu, ia mengatakan bahawa pesakit dengan radang jantung setelah vaksinasi umumnya pulih dari simptomnya dan kembali sihat.

[Laporan penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS