Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diadakan empat hari bermula 25 Ogos ini, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.
Beliau berkata Sultan Nazrin juga berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pada hari pertama persidangan mesyuarat itu.
“Semalam saya hadir menghadap Sultan Perak bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan penasihat undang-undang. Mengikut perancangan awal, persidangan akan diadakan secara fizikal, semua wakil rakyat akan terlibat, manakala ketua jabatan dan pemerhati secara maya.
“Seperti kelaziman, sidang DUN ini juga boleh diikuti di media sosial termasuk Facebook dan Youtube,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Sebelum ini dilaporkan beberapa negeri telah mengumumkan untuk mengadakan sidang DUN masing-masing seperti Melaka (pada pertengahan Julai), Negeri Sembilan dan Selangor (Ogos), manakala Pahang selepas darurat tamat selain Terengganu menunggu maklum balas Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Saarani berkata memandangkan persidangan dijadual berlangsung dalam fasa Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara, satu mesyuarat akan dijalankan bersama pasukan keselamatan termasuk MKN bagi mendapat nasihat dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Ia termasuklah bagi membincangkan ketetapan mengenai jumlah kehadiran dalam dewan, aspek penjarakan fizikal dan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta SOP lain yang berkaitan.
“Saya berharap, sidang DUN kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk wakil-wakil rakyat berkongsi pandangan dan buah fikiran terutamanya berkaitan dengan usaha secara kolektif untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,” katanya.
Ditanya sama ada pengamal media boleh hadir mengikuti persidangan Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 itu, Saarani berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada MKN dan KKM kerana ia membabitkan ruang tempat duduk yang terhad selain percaya kaedah laporan secara maya mungkin boleh dipraktikkan.
Sementara itu, beliau berkata Pejabat Menteri Besar dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) akan bekerjasama menghasilkan video-video kelas Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) sebagai bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Saarani berkata inisiatif di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) itu antara lain akan memudahkan dan membantu guru KAFA menyediakan bahan pembelajaran tersebut untuk murid KAFA Tahun Satu hingga Tahun Enam yang akan dimuat naik di media sosial.
Beliau berkata 15 pegawai JAIPk serta guru-guru KAFA terbabit dalam proses rakaman dan penghasilan video-video interaktif itu.
Inisiatif itu, katanya, adalah maklum balas terhadap cadangan supaya bantuan dan sokongan diberi kepada guru-guru terbabit yang berdepan kesukaran untuk menghasilkan kandungan serta bahan-bahan PdPR.
Sebelum ini dilaporkan, lebih 200,000 pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) menerima manfaat menerusi pelaksanaan program TCS di Perak.
- Bernama