Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan Najwan gesa EGM untuk lantik ketua AMK baru
Diterbitkan:  Jun 30, 2021 2:09 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Pemimpin Pemuda PKR (AMK) yang dipecat baru-baru ini secara terbuka mencabar ketua sayap parti itu, Akmal Nasir.

Dalam satu kenyataan bersama, enam daripada mereka yang dipecat, termasuk bekas Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi menggesa mesyuarat agung luar biasa diadakan bagi melantik ketua AMK yang baru.

"Sudah terang lagi bersuluh bahawa Akmal Nasir merupakan Ketua AMK Malaysia paling lemah dan tidak efektif dalam sejarah kepimpinan AMK.

"AMK Malaysia perlu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi melantik Ketua AMK Malaysia baru yang mempunyai keabsahan," kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Najwan, bekas ketua AMK Perlis, Azam Karap, bekas naib ketua Syed Badli Shah, bekas penolong setiausaha AMK, Naqib Nasruddin, bekas timbalan pengarah strategi AMK, Fakhrulrazi Zailan, dan bekas ketua biro mahasiswanya, Shahrul Nizam.

Mereka mendakwa sejumlah 110 Ketua AMK cabang daripada 137 secara keseluruhannya menolak serta hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal.

Seluruh kepimpinan AMK Selangor dan Perlis dipecat pada Selasa. lalu dengan beberapa pemimpinnya di peringkat pusat turut mengalami nasib sama.

Alasan yang diberikan adalah "rombakan strategik" itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 memandangkan pemilihan PKR dilanjutkan hingga 2023.

Namun, kumpulan Najwan berkata sekiranya alasan tersebut diberikan, keseluruhan tampuk kepimpinan AMK harus dirombak.

"Kami berpandangan bahawa jika rombakan mahu dilakukan atas asbab Pemilihan Parti Keadilan Rakyat dilanjutkan sehingga tahun 2023, maka lebih baik rombakan itu dilakukan secara keseluruhan terhadap tampuk kepimpinan AMK," jelas mereka.

Pertelingkahan itu berlaku di tengah perebutan kuasa antara kem bekas naib presiden parti itu, Rafizi Ramli dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Akmal dilihat sebagai anak didik Rafizi dan baru-baru ini membuat komentar tajam mengenai pembantu Anwar itu, khususnya "Geng Baju Hitam" yang dipimpin oleh Farhash.

Najwan bertanding merebut jawatan ketua AMK pada tahun 2018 dalam pertandingan tiga penjuru.

Pertelingkahan terbaru itu berlaku kira-kira selepas setahun pergolakan dalam PKR menyebabkan berlaku insiden lompat parti dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS