Penjelasan Ahli Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon bahawa kenduri durian yang dihadirinya adalah acara yang dianjurkan tahun lalu, menyebabkan warga maya melakukan 'siasatan' terperinci rakaman video berkenaan.
Warga maya juga mempertikaikan penjelasan pembantu Rashid bahawa individu yang memakai pakaian yang sama dengan acara sebelumnya di Majlis Perbadaran Batu Pahat pada 27 Jun adalah secara "kebetulan".
Sebarang perhimpunan adalah dilarang ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu mendakwa kenduri durian itu berlangsung pada Mac tahun lalu.
Namun, seorang netizen mendakwa jersi Liverpool yang dipakai oleh salah seorang peserta kenduri durian itu menggunakan logo Nike, yang dikeluarkan bagi musim ini.
"Tahun lalu, jersi Liverpool menggunakan jenama New Balance. Tetapi jika anda melihat gambar orang yang memakai jersi Liverpool, ia mengenakan jenama Nike dan patch EPL emas, itu bermakna jersi itu dari musim 2020/2021," kata seorang pengguna Facebook.
Nike merupakan penaja rasmi jersi Liverpool pada awal musim Liga Perdana Inggeris yang bermula pada Ogos 2020 dan masih berterusan sehingga kini.
Sebelum itu, New Balance adalah penaja pasukan bola sepak Inggeris itu.
Sementara itu, seorang lagi netizen mendakwa tudung yang dipakai oleh peserta pada jamuan durian itu adalah daripada koleksi terbaru Fareha yang baru dilancarkan dua bulan lalu.
Netizen juga mendedahkan bahawa individu yang berpakaian sama pada pesta durian itu telah menerima replika cek bernilai RM2,000 bertarikh 27 Jun dari Rashid pada acara sebelumnya.
Sebahagian individu di pesta durian itu juga kelihatan mengenakan pakaian seperti t-shirt Perikatan Nasional (PN).
Walaupun PN mula berkuasa pada awal Mac 2020, namun ia hanya menjadi gabungan rasmi pada Ogos 2020 iaitu menjelang pilihan raya Sabah.
Logo PN juga dilancarkan pada bulan yang sama.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Zuraida Kamaruddin juga mengesahkan yang dia telah disajikan dengan durian pada acara sebelumnya, tetapi mendakwa dia tidak hadir di pesta durian itu.
"Festival itu tidak ada kaitan dengan saya. Saya tidak berada di majlis itu, "katanya.