Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Pemulih bukan jawapan pada kesengsaraan rakyat

KATA MP | Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berlarutan telah memperjudikan nasib ramai orang dan entiti perniagaan. Kelemahan tadbir urus kerajaan pintu belakang yang gagal membendung penularan wabak Covid-19 dan kelembapan program vaksinasi menjadi penyumbang terbesar kepada semakan turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dari 6.0 peratus kepada 4.5 peratusu ntuk 2021.

Penggunaan strategi lapuk tapi mengharapkan hasil akhir yang berbeza memang membawa Malaysia tidak kekal pada kedudukan yang sama seperti tahun lalu. Sekarang Malaysia berada pada tempat yang berbeza.

Cuma malangnya perubahan itu membawa Malaysia terjunam lebih jauh. Ini dicerminkan secara jelas melalui jumlah kes harian yang terus tinggi dan kematian yang meningkat saban hari.

Kelompangan terbesar Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (Pemulih) yang diumumkan Muhyiddin Yassin semalam ialah kelembapan reaksi dan bantuan kerajaan kepada rakyat yang sedang merana.

Sebagai contoh, bantuan tunai hanya diberikan mulai Ogos ini iaitu sekurang-kurangnya sebulan dari sekarang. Apakah logik di sebalik keputusan ini?

Begitu juga dengan bantuan kepada sektor perniagaan. Majikan misalnya masih belum menerima bantuan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang dijanjikan apatah lagi bantuan PSU 4.0 yang baru diumumkan semalam.

Kerajaan seharusnya perlu menggembleng usaha mempercepatkan proses penyampaian bantuan segera bukannya hanyut dengan publisiti dan retorik semata-mata.

Masih tak tertunai hingga kini

Selain itu, pakej bantuan dan rangsangan yang diumumkan perdana menteri terlalu kecil jumlahnya. Jumlah terkumpul pakej-pakej yang telah diumumkan adalah sebanyak RM530 billion.

Namun jumlah sebenar yang keluar dari poket kerajaan hanyalah sebanyak 15 peratus atau RM83 bilion. Jumlah ini juga hanyalah sekitar 6 peratus daripada KDNK.

Ia suatu peratusan yang cukup kecil jika dibandingkan dengan pelan pemulihan negara-negara lain seperti Singapura (19.5 peratus), Thailand (8.5 peratus) atau Filipina (6.5 peratus).

Kerajaan yang mengutamakan rakyat sepatutnya tidak teragak-agak untuk berbelanja demi menyelamatkan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Sementara itu, dalam kelegaan rakyat menerima berita moratorium semalam, kerajaan jangan pula alpa memastikan bank-bank dan institusi kewangan tidak menangguk di air keruh dengan mengenakan faedah dan caj tambahan ke atas peminjam-peminjam yang terbabit.

Peruntukan RM300,000 untuk bakul makanan juga harus diberikan terus kepada wakil-wakil rakyat dalam bentuk tunai agar bantuan tersebut dapat disalurkan dengan cepat dan menggunakan kaedah yang bersesuaian mengikut lokaliti masing-masing.

Ini dapat mengelakkan program bakul makanan ini mengalami nasib serupa seperti pemberian komputer riba yang masih tidak dapat ditunaikan sehingga hari ini.

Ringkasnya, bantuan yang diumumkan adalah “too little, too late”. Pakej rangsangan ini tidak dapat mendatangkan kelegaan kepada rakyat mahupun perniagaan yang sedang tersepit.

Seluruh kabinet kerajaan hari ini harus mengambil tanggungjawab atas kegagalan ini.


SALAHUDDIN AYUB ialah ahli parlimen Pulai, Adun Simpang Jeram dan timbalan presiden Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS