Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tumpaskan sindiket edar dadah guna 'kurier salah alamat'

Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah menggunakan khidmat kurier dari Puchong ke Kota Kinabalu, Sabah selepas menahan seorang remaja dalam serbuan pada 23 Jun lalu.

Suspek terbabit yang baru berusia 18 tahun merupakan penganggur berasal dari Subang Jaya dan ditahan di sebuah syarikat kurier di Bandar Puteri, Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A Anbalagan, berkata selepas remaja terbabit ditahan polis merampas sebuah kotak berisi syabu dengan anggaran berat 20.4kg. Turut disita sebuah kereta Honda City.

Katanya nilai dadah tersebut ialah kira-kira RM720,000 dan dianggarkan mampu menampung penggunaan 20,000 penagih dadah.

Menurut Anbalagan serbuan berkenaan dijalankan secara bersama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Daerah Serdang dan polis Daerah Subang Jaya.

"Dalam kotak tersebut pada bahagian atasnya terdapat dua helai baju T berwarna putih manakala di bawahnya terdapat 29 bungkusan bertulis 'Da Guan Yin' yang mengandungi ketulan kristal dadah jenis syabu.

"Suspek tersebut ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman selama tujuh hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.

Menurut Anbalagan lagi semakan polis mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau namun ujian saringan awal menunjukkan dia suspek positif dadah jenis ketamin.

Menjelaskan modus operandi sindiket berkenaan, Anbalagan berkata suspek berperanan untuk menghantar bungkusan ke destinasi yang diarahkan melalui kurier.

ACP A Anbalagan

"Hasil pemeriksaan mendapati alamat yang di Kota Kinabalu tidak wujud.

"Polis percaya ia juga satu taktik untuk mengaburi pihak berkuasa kerana apabila suatu alamat itu tidak wujud, pihak kurier terpaksa menghubungi nombor telefon penerima dan seterusnya penerima akan mengarahkan barangan tersebut di hantar ke suatu lokasi yang diberitahu semula," katanya.

Menurut Anbalagan lagi kumpulan pengedar tersebut dikesan aktif sekak lebih kurang lima bulan lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS