Moratorium pinjaman bank selama enam bulan yang diumumkan oleh kerajaan semalam bukannya tanpa faedah, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Bagaimanapun, kata Zafrul, dia telah meminta bank untuk tidak mengenakan faedah berganda (compounded interest) atau caj denda lewat bayar ke atas pelanggan terbabit.
Zafrul berkata demikian selepas sidang media untuk memperincikan Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (Pemulih).
Terdahulu pada sidang medianya yang dihadiri Malaysiakini secara dalam talian, Zafrul berkata moratorium itu bukan tanpa faedah.
Bercakap pada sidang media hari ini, dia menekankan bahawa fokus moratorium adalah membantu rakyat yang perlu menangguhkan ansuran pinjaman mereka.
"Saya mengatakan bahawa moratorium ini sama seperti sebelumnya. Ia bukan tanpa faedah.
"Secara definisi, moratorium adalah penangguhan pembayaran pinjaman," katanya.
Dapatan semasa turun padang
Bagaimanapun, selepas selesai sidang media, Zafrul datang semula dan memberikan maklumat tambahan.
"Saya telah minta bank, tak kenakan faedah berganda dan denda lewat bayar," katanya kepada pengamal media yang hadir secara fizikal.
Malaysiakini kemudian memperoleh rakaman kenyataan Zafrul selepas sidang media itu.
Faedah dikenakan pada jumlah yang dipinjam, sementara faedah berganda dikenakan pada faedah yang dikenakan sementara pembayaran ditangguhkan.
Zafrul memberitahu media, semasa sidang media secara dalam talian sebelum itu dia tidak bercakap mengenai hal itu kerana menjangkakan Bank Negara akan membuat kenyataan rasmi.
Bagaimanapun katanya dia menukar fikiran sejurus selepas itu bagi menjelaskan situsi sebenar.
Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan kewangan Pemulih dengan nilai keseluruhan RM150 bilion.
Antara inisiatif yang ditawarkan ialah moratorium pinjaman bank yang diberikan kepada semua peminjam berbanding sebelum ini yang hanya khusus untuk golongan B40.
Namun, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan mengenai syarat tambahan untuk moratorium tersebut, dan bertanya apakah peminjam akan dikenakan caj tambahan oleh bank jika mengambil inisiatif tersebut.
Semasa sidang media, Zafrul berkata terpulang kepada peminjam dan bank masing-masing untuk membincangkan perincian mengenai moratorium berkenaan.
Menurutnya, fokus utama Putrajaya adalah untuk membantu rakyat yang terjejas teruk oleh Covid-19 agar mereka dapat menguruskan aliran tunai dengan lebih baik.
Katanya semasa turun padang untuk mendengar apa yang diinginkan rakyat, itulah yang dimahukan mereka, iaitu moratorium.
Justeru katanya kerajaan berhubung dengan bank-bank yang ada dan meminta bantuan mereka untuk meringankan tekanan rakyat sama ada yang terkesan atau sebaliknya.
"Jadikan (proses itu) mudah, hanya perlu buat permohonan secara dalam talian, melalui telefon atau pergi ke cawangan (bank yang berkaitan). Dan mereka (pelanggan) akan dapat kelulusan automatik, tak ada pertanyaan, tak (perlu) ada borang.
"Itulah permintaan (yang dikemukakan) apabila kami turun padang," katanya.