Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen bendera putih bukti PN gagal jaga kebajikan rakyat - PH
Diterbitkan:  Jun 29, 2021 12:58 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Kempen bendera putih yang tular sejak baru-baru ini merupakan bukti kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga kebajikan rakyat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurutnya, kempen yang bertujuan memberikan sokongan dan bantuan keperluan harian kepada isi rumah yang hilang pendapatan itu menunjukkan yang rakyat sudah tidak mampu menanggung kesan wabak Covid-19 dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Ia, kata Shazni, diburukkan dengan kelembapan agihan bantuan kerajaan sehingga menyebabkan rakyat tertekan daripada aspek ekonomi dan mental, serta pelan bantuan yang tidak menyeluruh.

“Kadar kematian daripada kejadian bunuh diri melonjak naik sejak pelaksanaan PKP yang sudah memakan masa hampir dua tahun.

“[...] Kempen yang ditularkan ini adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap kebajikan rakyat semasa pelaksanaan PKP.

“Kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen bendera putih itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan untuk menaikkan bendera putih di rumah masing-masing sebagai isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi semakin banyak berkongsi variasi mesej yang sama sejak petang semalam.

Antara pesanan yang turut disertakan ialah agar rakyat tidak mengambil tindakan drastik dalam menghadapi kesulitan, di tengah semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Pemuda PH, kata Shazni, menyokong penuh kempen “Kibarkan Bendera Putih” ini bagi membantu individu atau keluarga yang terkesan supaya mereka dapat terus bertahan sehingga negara keluar daripada wabak Covid-19. 

Semnentara itu, Biro Mobilisasi Amanah akan menaikkan bendera putih di seluruh negara esok.

Mesej WhatsApp dari ketuanya, Mohd Sany Hamzan mengatakan setiap kawasan harus mempunyai sekurang-kurangnya 10 bendera putih. Dia mengesahkan mesej itu sahih ketika dihubungi hari ini.

Sany memberitahu Malaysiakini objektif mereka itu adalah agar pemimpin kerajaan Perikatan Nasional meletakkan jawatan.

"Kami tuntut kerajaan pusat yang gagal ini untuk letak jawatan dan berikan mandat kepada parti yang mempunyai mandat rakyat," katanya.

Dia juga menafikan bahawa ini akan mengalihkan perhatian dari kempen bantuan.

“Bendera yang kita akan naikkan ini bukan di rumah. (Tetapi) di tempat awam macam di jalan raya, sign board jejantas.

“Yang memerlukan bantuan mereka akan naikkan bendera di rumah mereka sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS