Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis mohon semula notis merah Interpol terhadap warga Malaysia di Jerman
Diterbitkan:  Jun 29, 2021 10:49 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan semula kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengeluarkan notis merah terhadap seorang rakyat Malaysia di Jerman kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan baru-baru ini menerusi satu rakaman video di media sosial.

Bernama memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan, berkata PDRM sebelum ini pernah mengemukakan permohonan notis merah kepada Interpol melalui surat bertarikh 22 Disember tahun lalu, bagaimanapun ia ditolak.

Katanya, permohonan itu ditolak oleh Interpol dengan merujuk kepada Artikel 3 Perlembagaan dan Peraturan Interpol yang menyebut bahawa organisasi adalah dilarang campur tangan berkaitan watak politik, ketenteraan, agama dan kaum dalam mengeluarkan sesuatu notis merah ke atas mana-mana individu yang dikehendaki pihak berkuasa sesebuah negara.

Jalil berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Berat (D9), di Bangunan KPJ, semalam.

Tiga hari lalu, Jalil berkata pihaknya sedang mencari individu yang dikenali sebagai N Ganesparan, 39, yang dipercayai berada di Jerman, atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam dan menggugat keamanan negara.

"Siasatan mendapati suspek memuat naik video bertajuk 'Racist in vaccine Malaysia' di akaun Facebook milik Ganesparan Nadaraja.

"Dalam video tersebut, suspek mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama 'Sinovac' diberikan kepada golongan bukan Muslim, manakala, golongan Muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama 'Pfizer'," katanya.

Jalil berkata video berdurasi lapan minit dan 54 saat itu mendapat 550 respons, 247 komen dan 395 perkongsian, bersama dengan sekitar 10,000 tontonan, selain tular di WhatsApp.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Katanya, sejak 2018, polis telah membuka 18 kertas siasatan terhadap suspek di bawah Akta Hasutan 1948, dan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 298A, 500, 504 dan 505 (b).

"Pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen mendapati pergerakan terakhir suspek adalah pada 2 November 2017, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan status pasportnya juga telah dibatalkan pada 25 November tahun lalu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS