Penganjur rancangan hartal melibatkan pegawai perubatan junior secara kontrak berkata, ketiadaan jaminan pekerjaan dan peluang pengembangan kerjaya adalah antara sebab mereka melancarkan hartal tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak penganjur berkata profesion perubatan bukan seperti pegawai bank atau jurutera.
"Laluan kerjaya doktor hanya boleh meningkat dengan mengikuti program 'master' atau menduduki peperiksaan seperti MRCS, MRCP, MRCph dan sebagainya.
"Kami tidak dapat promosi kerjaya berdasarkan jangka masa perkhidmatan kami," kata kenyataan yang disiarkan oleh pengguna Twitter @avenfauzi menggunakan tanda pagar #HartalDoktorKontrak.
Akaun tersebut digunakan sebagai komunikasi bagi pihak kumpulan tersebut.
Kumpulan itu juga menyatakan peluang untuk meneruskan kepakaran pilihan mereka sangat rendah, dengan alasan kos melanjutkan pengajian dan sekatan tertentu sebagai hambatan.
Dikatakan bahawa kumpulan doktor kontrak itu akan melancarkan hartal pada akhir bulan Julai sekiranya kerajaan gagal menyelesaikan masalah penempatan tetap mereka.
Sebelum ini, kumpulan itu memberitahu Malaysiakini bahawa rancangan hartal itu dicetuskan berikutan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 23 Jun yang mempertahankan pengambilan berdasarkan kontrak yang bermula pada Disember 2016.
Kenyataan Adham dibuat sebagai respon kepada surat terbuka kepada semua anggota parlimen dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) yang membangkitkan isu ketiadaan jaminan pekerjaan dan peluang pengembangan kerjaya yang dihadapi pegawai kontrak junior.
"Bagaimana dengan nasib saya, tuan-tuan dan puan-puan? Adakah saya harus meninggalkan negara ini untuk mendapatkan rezeki? Adakah saya perlu meninggalkan tanah air saya?” tanya salah seorang penganjur dalam kumpulan itu.
Menurut Ketua Setiasaha Kementerian itu, Mohd Shafiq Abdullah pihaknya telah menggariskan pelbagai usaha untuk menangani isu yang dihadapi pegawai perubatan kontrak.
Ini termasuk usaha mendapatkan bilangan jawatan tetap yang memenuhi konsep 'right sizing' dengan rundingan diadakan antara pelbagai pihak seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan penyelesaian.
KKM juga telah mencadangkan kontrak jangka panjang untuk membolehkan pegawai kontrak dapat meneruskan program ijazah sarjana dan kesesuaian tajaan biasiswa, yang kini masih dalam rundingan.
Antara isu lain yang dibawa penganjur adalah isu doktor junior tidak mendapat faedah tertentu seperti cuti bersalin dan cuti khusus (bagi mereka yang bekerja di bahagian radiologi).
Kumpulan itu sekali lagi mengatakan gerakan mereka tidak bermotifkan politik dan bukan bertujuan mengganggu keamanan negara.