mk-logo
Berita
PM umum pakej Pemulih RM150 bilion, terbesar sejak 'kuncitara'
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 5:08 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang diberi nama "Pemulih", singkatan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.

Ini pakej terbesar oleh kerajaan Perikatan Nasional sejak pakej Prihatin bernilai RM250 bilion yang diumumkan pada bulan Mac tahun lalu ketika negara mengalami kuncitara (lock down) buat pertama kali.

Pakej ini merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Pakej terbaru diumumkan berdasarkan keadaan kuncitara yang dijangka berlanjutan kerana kes harian Covid-19 masih tinggi.

Keseluruhan kuncitara bermula 1 Jun lalu sepatutnya berakhir pada 14 Jun tetapi dilanjutkan hingga 28 Jun dan sekarang akan berterusan sehingga kriteria penamatannya dicapai.

Kerajaan merancang untuk melonggarkan SOP apabila kes Covid-19 baru turun bawah 4,000 tetapi purata jangkitan baru setiap hari dalam sebulan terakhir tetap melebihi 5,000 kes.

Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah 10 bilion ringgit.

"Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga hujung tahun ini, kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion," kata Muhyiddin pada perutusan khas hari ini yang disiarkan di Bernama TV, RTM, TV3, Astro Awani dan TV Alhijrah.

Bantuan Tunai langsung ini, antaranya merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.

Berikut ringkasan pakej bantuan sebelumn ini yang dilancarkan untuk memerangi wabak Covid-19 dan memastikan ekonomi tidak meleset.

2020

  • 28 Mac: RM250 bilion Prihatin (RM25 bilion suntikan tunai langsung)
  • 6 April: RM10 bilion Prihatin SME+ (RM10 bilion suntikan tunai langsung)
  • 5 Jun: RM35 bilion Penjana (RM10 bilion suntikan tunai langsung)
  • 23 Sept: RM10 bilion Kita Prihatin (RM10 bilion suntikan tunai langsung)

2021

  • 18 Jan: RM15 bilion Permai (RM6.6 bilion suntikan tunai langsung)
  • 17 Mac: RM20 bilion Pemerkasa (RM11 bilion suntikan tunai langsung)
  • 31 Mei: RM40 bilion PemerkasaPlus (RM5 bilion suntikan tunai langsung)


 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS