Paling Popular
Terkini

Seorang lagi bekas Peguam Negara (AG) mempertahankan Peguam Negara, Idrus Harun berhubung pandangan bahawa terserah kepada kabinet untuk menentukan bilakah parlimen akan bersidang tanpa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Mohamed Apandi Ali berkata, Idrus hanya menyatakan peruntukan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan berikutan terdapat kekeliruan mengenai isu itu.

"Tidak ada yang salah, kerana AG (Idrus) hanya menjelaskan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang telah menimbulkan kekeliruan orang ramai," kata Apandi ketika dihubungi petang ini.

Semalam, bekas peguam negara, Tommy Thomas meluahkan kekecewaannya berhubung gesaan Pakatan Harapan (PH) agar Idrus dipecat berikutan kenyataan medianya yang mengatakan Agong hanya boleh memanggil sidang parlimen atas nasihat kabinet. 

Sebelum itu pada hari yang sama, Majlis Presiden PH menggesa Idrus dipecat susulan tingkah lakunya berkaitan titah Agong agar sidang parlimen diadakan "secepat mungkin".

PH berkata, Idrus sebagai peguam negara mempunyai tanggungjawab di bawah Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Agong dan kabinet mengenai perkara berkaitan undang-undang. 

Kata mereka nasihat ini harus disampaikan secara terus kepada baginda dan bukannya dibuat secara terbuka.

PH juga berpendapat bahawa tindakan membuat kenyataan secara terbuka merupakan pelanggaran kerahsiaan antara peguam dan anak guamnya.

Turut mempertahankan Idrus berhubung isu tersebut adalah peguam New Sin Yew dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.

Parlimen digantung sejak 11 Januari berikutan perisytiharan darurat yang dijangka berakhir pada bulan Ogos.

Majlis Raja-Raja sebelum ini menitahkan bahawa tiada keperluan untuk melanjutkan darurat.

Kerajaan pada awalnya memaklumkan bahawa parlimen akan bersidang semula pada bulan Sept atau Okt.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim mencadangkan parlimen secara hibrid diadakan akhir Ogos atau awal Sept.

Kedua-dua mereka telah dipanggil oleh Agong dan dijadualkan menghadap baginda pada Selasa ini (29 Jun).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS