Sekumpulan pegawai perubatan kontrak dari Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu memaklumkan mereka berisiko menghadapi tindakan disiplin sekiranya menyertai hartal yang dirancang akhir bulan depan, kata sumber.
Menurut mereka mesej itu disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Saifur Rahman Muhammad kepada kira-kira 40 pegawai perubatan kontrak yang menghadiri libat urus selama satu jam di auditorium hospital itu semalam.
Menurut memo yang dilihat Malaysiakini itu, ia dikeluarkan Saifur Rahman kepada pengarah hospital, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh, yang meminta kebenaran membenarkan lima pegawai perubatan kontrak dari setiap jabatan menghadiri sesi tersebut.
Perincian pertemuan itu pada mulanya dikongsi oleh seorang doktor di Twitter bersama dengan ringkasan "kesimpulan" yang merangkumi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) "tidak dapat memenuhi tuntutan mereka" tetapi mereka tetap tidak dibenarkan menyertai hartal yang dirancang.
Ketika dihubungi, seorang doktor lain berkata pegawai perubatan kontrak tidak dihalang untuk mengambil bahagian dalam hartal tersebut, tetapi mereka diberi amaran akan ada risiko penamatan segera kontrak atau ia tidak akan disambung selepas ini.
Doktor itu berkata Saifur Rahman memberitahu sebagai penjawat awam, dia tidak dapat menyokong hartal yang didakwa bertentangan dengan etika mereka.
Pegawai perubatan terbabit juga diingatkan mereka telah mendaftar untuk menjadi kakitangan kontrak dan kerajaan tidak berkewajiban untuk memberikan mereka jawatan tetap.
Difahamkan, sesi pertemuan yang serupa dengan pegawai perubatan kontrak juga akan diatur di hospital kerajaan yang lain dan juga pejabat kesihatan negeri di Terengganu.
KKM semalam menafikan mereka mengeluarkan arahan kepada semua ketua jabatan klinikal untuk mengenal pasti pegawai perubatan kontrak yang ingin atau mengambil keputusan menyertai hartal tersebu yang dijadual diadakan pada 1 Julai.
Ketika dihubungi, seorang pegawai KKM memberitahu Malaysiakini notis untuk mengenal pasti pegawai perubatan kontrak yang merancang melakukan hartal pada bulan depan - seperti yang dikongsi di Twitter - adalah palsu.
Sebaliknya, menurut pegawai terbabit Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah dalam komunikasinya dengan jabatan kesihatan negeri menggariskan pelbagai usaha untuk menangani masalah yang dihadapi pegawai perubatan kontrak.
Ia termasuk usaha mendapatkan jawatan tetap kepada sejumlah kakitangan, peluasan kontrak dan isu perbezaan gaji pegawai perubatan kontrak dan tetap.
Malaysiakini pada Sabtu melaporkan sekumpulan pegawai perubatan kontrak akan melakukan hartal yang dirancang pada akhir bulan Julai sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan isu perjawtaan mereka.
Menurut data KKM terdapat 23,077 pegawai perubatan kontrak yang direkrut sejak 2016 dengan hanya 789 yang diserap menjadi kakitangan tetap.