Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budi bicara Agong: Usah tafsir undang-undang ikut kehendak - Peguam
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 10:01 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

Peguam New Sin Yew membidas Pakatan Harapan (PH) mengenai pendirian pembangkang berhubung kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang parlimen.

Bercakap kepada Malaysiakini, New berkata PH tidak boleh mentafsir undang-undang secara salah agar sesuai dengan kehendak mereka berhubung isu membuka semula parlimen, yang kini digantung di bawah undang-undang darurat.

"Jangan salah tafsir prinsip undang-undang yang telah ditetapkan agar sesuai dengan keputusan yang diinginkan kerana ini akan menjadi precedent (duluan)," katanya.

Sebalik kata New mereka yang mahu parlimen bersidang semula harus mencari cara lain yang memang sedia ada.

"Pokoknya, kita tidak boleh mengheret Agong dalam huru-hara yang kita buat. Beritahu ahli parlimen anda, Adun anda, ahli politik anda, dan beritahu mereka tamatkan darurat dan lobi agar parlimen bersidang semula.

"Jika mereka enggan, bercakaplah dengan semua orang yang kamu kenal untuk singkirkan mereka.

"Kepada mereka yang terus mempertahankan tafsiran sesat bahawa Agong boleh memanggil parlimen tanpa nasihat perdana menteri, Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan menyediakan perkara-perkara yang baginda boleh bertindak mengikut budi bicaranya.

"Memanggil parlimen bukanlah perkara yang seumpama itu," katanya.

Dia juga mempertahankan kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun, yang berpandangan Agong hanya boleh memanggil sidang parlimen atas nasihat kabinet.

Semalam, Majlis Presiden PH menggesa Idrus dipecat susulan tindakannya berkaitan titah Agong agar sidang parlimen diadakan "secepat mungkin".

Majlis Presiden PH berkata, berdasarkan Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara bertanggungjawab menasihati Agong atau jemaah menteri mengenai perkara berkaitan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, peguam negara perlu melakukannya secara terus kepada Agong serta merahsiakannya, bukan menyatakannya secara terbuka

New berkata, gesaan PH agar Idrus dipecat kerana menderhaka kepada Agong sebagai "tidak munababah".

 "Peguam Negara secara terbuka menyatakan kedudukan undang-undang yang betul bahawa Agong bertindak atas nasihat perdana menteri dalam memanggil parlimen, yang ditentang secara keliru oleh banyak orang," katanya.

"PH harus berhenti mengelirukan demi mementingkan diri sendiri.

"Saya juga mahu parlimen bersidang tetapi tidak mengorbankan prinsip perlembagaan yang telah ditetapkan," tambahnya.

Parlimen digantung sejak 11 Jan lalu berikutan pelaksanaan darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos ini. 

Bagaimanapun Majlis Raja-Raja berpendapat bahawa tiada keperluan untuk melanjutkan darurat selepas tarikh tersebut.

Kerajaan pada awalnya menegaskan parlimen akan bersidang semula pada bulan Sept atau Okt.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim mencadangkan parlimen secara hibrid diadakan akhir Ogos atau awal Sept.

Kedua-duanya telah dipanggil oleh Agong dan dijadualkan menghadap baginda pada Selasa ini (29 Jun).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS