Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid anggap Idrus 'tak hormati' Agong, mahu PM beri penjelasan
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 8:43 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

Peguam Negara, Idrus Harun, dianggap tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dengan membuat kenyataan terbuka mengenai pembukaan semula parlimen, kata Zaid Ibrahim.

Pun begitu bekas menteri undang-undang itu tidak menggesa agar Idrus dipecat melainkan mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan mengenai tingkah laku peguam negara terbabit.

"Kenyataan itu tidak sopan dan menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap martabat seri paduka, yang juga dinasihatkan oleh peguam negara.

"Saya tidak menganggap ia sebagai pelanggaran kerahsiaan (breach of confidentiality) melainkan sebagai tidak menghormati raja. 

"Nasihat yang diberikan kepada raja dan perdana menteri harus bersifat peribadi.

“Tidak perlu memberikan kenyataan media melainkan PM terdesak untuk mencari sokongan. 

"Peguam negara tidak boleh tergoda untuk berpihak secara terbuka. Itu bukan peranannya.

"Saya tidak akan mengatakan bahawa dia harus dipecat tetapi bosnya (PM) harus diminta untuk menjelaskan tingkah laku peguam negara," katanya kepada Malaysiakini.

Turut luah rasa kecewa

Zaid mengulas gesaan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam yang meminta Idrus dipecat kerana didakwa menderhaka kepada Agong dengan membuat kenyataan secara terbuka berhubung prosedur pembukaan semula parlimen.

PH berkata, peguam negara mempunyai tanggungjawab di bawah Artikel 145 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Agong dan jemaah menteri mengenai perkara berkaitan undang-undang.

Bagaimanapun, kata mereka, peguam negara perlu melakukannya secara terus kepada Agong. 

"Jelas sekali peguam negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya, dan bukan mengumumkan pandangan beliau secara terbuka seperti yang telah dibuat ini.

"Maka kenyataan ini juga satu bentuk pelanggaran kerahsiaan di antara peguam dan anak guam. 

"Dengan pelanggaran ini, dia tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan peguam negara," katanya.

Semalam, peguam negara sebelum Idrus, Tommy Thomas, turut meluahkan kekecewaannya terhadap pendirian PH dengan menyatakan peguam negara tidak boleh dipecat hanya kerana pihak tertentu tidak bersetuju dengan pendapatnya mengenai undang-undang.

"Undang-undang tidak ada hitam putih mengenai perkara ini. Terdapat banyak kawasan kelabu.

“Ini adalah bidang perundangan yang sukar dan kompleks. Kita memasuki 'wilayah' yang belum dijelajahi. 

"Semua orang berhak atas pendapat mereka. 

"Anda harus bersetuju untuk tidak bersetuju. Itulah undang-undang," katanya kepada Malaysiakini.

Parlimen ditangguhkan sejak 11 Januari berikutan pengisytiharan darurat, yang dikatakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Pada 15 Jun lalu, Muhyiddin berkata parlimen akan bersidang semula apabila negara memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara pada September atau Oktober, apabila kes  Covid-19 kurang daripada 2,000 kes sehari, kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus penduduk telah menerima vaksin penuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS