Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menyiasat kesahihan kes bayi tertukar pada 20 tahun lalu yang dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan di sebuah hospital di Kota Bharu.
Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya akan membuat siasatan berhubung kelahiran tiga bayi yang terlibat, sama ada mereka di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) atau di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
"Kita akan membuat siasatan berhubung kesahihan kes itu (kelahiran mereka). Kita akan semak rekod kelahiran di hospital.
"Pihak kita juga akan mendapatkan maklumat daripada keluarga," katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Terdahulu Bernama melaporkan kisah Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20.
Baca: Tertukar sejak lahir, dua beradik kembar bersatu kembali selepas 19 tahun
Adryani dan kembar seirasnya yang sebenar, Noratirah hanya bersemuka buat kali pertama pada 2019, secara kebetulan di sebuah pasar raya.
Kira-kira setahun kemudian, mereka mula berhubung di media sosial dan mengambil keputusan untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), di mana keputusan menunjukkan mereka 99.99 peratus ialah pasangan kembar.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya akan membuat siasatan terperinci berhubung kejadian itu.
Katanya, jika dilahirkan di HRPZ II, pihaknya akan mencari rekod kelahiran mereka kerana hospital akan menyimpan fail kelahiran dalam tempoh 21 tahun.
"Kebiasaannya, rekod kelahiran akan disimpan hospital selama 21 tahun. Kita akan mencari rekod mereka yang dahulunya dibuat secara manual," katanya.