Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Derhaka pada Agong, AG perlu dipecat segera - PH
Diterbitkan:  Jun 27, 2021 6:30 PM
Dikemaskini: Jun 28, 2021 12:32 AM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Peguam Negara Idrus Harun dipecat susulan tindakannya berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan "secepat mungkin".

Gesaan itu selepas Idrus dalam satu kenyataan terbuka berkata Seri Paduka  hanya boleh memanggil sidang Parlimen atas nasihat Kabinet.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH berkata berdasarkan Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara memang bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri mengenai perkara berkaitan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, peguam negara perlu melakukannya secara terus kepada baginda serta merahsiakannya, bukan menyatakannya secara terbuka.

"Maka kenyataan (Idrus) juga satu bentuk 'pelanggaran kerahsiaan' (breach of confidentiality) antara peguam dan anak guam. Dengan pelanggaran ini, dia tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan peguam negara.

"Oleh itu, kenyataan peguam negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan dia mesti dipecat segera," kata Majlis Presiden PH.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pada 25 Jun lalu, Idrus antara lain berkata penghakiman mahkamah berkenaan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan sebelum ini menggariskan penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkara rakyat menaruh harapan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk penyelesaian di saat negara berdepan wabak Covid-19, dengan ramai yang terkorban dan hilang punca pendapatan, selain "kerajaan yang tidak stabil lagi tiada keabsahan".

"Namun kenyataan peguam negara ini, terutama dalam konteks sekarang, telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

"Ia telah mengenepikan semangat Perlembagaan, dan memberi gambaran peguam negara mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu," kata mereka.

Parlimen telah digantung sejak 11 Januari lalu susulan penguatkuasaan darurat yang dijadual tamat pada Ogos ini.

Sebelum ini, Majlis Raja-raja juga membantah sebarang lanjutan darurat.

Susulan titah Yang di-Pertuan Agong tersebut, kerajaan berkata Parlimen hanya akan kmebali bersidang pada September atau Oktober ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim menjangkakan sidang parlimen secara hibrid boleh diadakan pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama Sept nanti.

Rais dan Azhar telah diminta untuk mengadap Seri Paduka pada Selasa ini (29 Jun).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS