Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) berkata ramai pekerja pembersihan sekolah mendakwa gaji minimum mereka dipotong ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurut mereka, kontraktor memberi alasan gaji pekerja pembersihan dipotong oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akibat pengurangan kehadiran pekerja sepanjang PKP.
"Ramai cleaner sekolah mengadu pada kami yang gaji akan dipotong masa PKP. Kontraktor bagi alasan PPD potong peruntukan sebab @KemPendidikan kata tak semua kena kerja setiap hari, kena ikut giliran.
"Tapi @myksm (Kementerian Sumber Manusia) kata tak boleh potong gaji semasa PKP? Gaji minimum pun nak potong?" kata JPKK menerusi Twitter semalam.
Mereka melampirkan empat tangkapan layar mesej WhatsApp daripada pekerja pembersihan sekolah yang mengeluh kerana gaji mereka dipotong.
Salah satu tangkapan layar itu mengandungi mesej daripada seorang pekerja kontrak di Kuantan yang mengatakan gaji mereka dipotong sebanyak 40 peratus berdasarkan kehadiran 60 peratus pekerja yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Tiga lagi pekerja mengatakan mereka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semasa PKP ketika ini.
Dalam tweet lain, JPKK mempamerkan garis panduan Kementerian Pendidikan yang menyatakan 60 peratus pekerja kebersihan masih perlu bekerja di premis berdasarkan keperluan semasa dengan persetujuan kontraktor dan pentadbir premis.
JPKK juga menyertakan tangkapan layar garis panduan PKP oleh Kementerian Sumber Manusia yang menyatakan majikan wajib membayar gaji penuh kepada pekerja mereka ketika PKP.
Sementara itu, upah pekerja harian harus dibayar berdasarkan kadar upah yang dipersetujui antara majikan dan pekerja, seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran, kontrak perkhidmatan atau kenaikan gaji terkini.
Sehubungan dengan itu, JPKK menggesa Kementerian Pendidikan dan menterinya Radzi Jidin mengambil tanggungjawab dan mengeluarkan arahan untuk tidak memotong gaji pekerja pembersihan sekolah.
JPKK juga menggesa mana-mana pekerja pembersihan sekolah menghubungi mereka melalui talian hotline sekiranya mempunyai aduan di tempat kerja.