Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fasa I pelan pemulihan dilanjutkan hingga kes baru kurang 4,000
Diterbitkan:  Jun 27, 2021 12:03 PM
Dikemaskini: Jun 28, 2021 12:33 AM

Fasa pertama (I) Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok tidak akan ditamatkan malah akan diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, fasa pertama itu akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.

"Sekarang mereka kata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah nak tamat. Saya kata, mulai sekarang kita tak sebut PKP, tapi kita sebut kita berada dalam fasa, sekarang ini fasa pertama (PPN) sampai Julai mungkin pertengahan bulan dan sebagainya.

"Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap...kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di Unit Rawatan Rapi tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan," kata Muhyiddin, petik laporan Bernama.

PKP kali ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu. Dijadual selama dua minggu, ia kemudian dilanjutkan sehingga esok (28 Jun).

Menurut pelan pemulihan negara, peralihan dari Fasa 1 sekatan pergerakan penuh hanya akan dilakukan sekiranya tiga sasaran utama tercapai.

Kriteria utama untuk memasuki Fasa 2 adalah kes harian Covid-19 di bawah 4,000; Kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap "sederhana"; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Namun demikian, purata tujuh hari untuk kes Covid-19 setakat hari ini adalah 5,351, sementara jumlah pesakit di ICU hari ini (866) hampir sama tinggi ketika sekatan penuh mula berkuat kuasa pada 1 Jun (872).

Bilangan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia pada bulan ini saja pula seramai 2,088 orang.

Peralihan ke fasa ketiga akan berlangsung selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh. Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata pengumuman mengenai moratorium pinjaman dan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan i-Sinar akan dibuat tak lama lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS