Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud menyelar kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin yang mendakwa negeri itu tidak mempunyai keupayaan vaksinasi.
"Nampak benar menteri tak tahu masalah di bawah. Selangor ada kapasiti untuk buat lebih. Kalau buat begitu, selepas beberapa hari, ada PPV yang kena tutup sementara.
"Jangan berbohong dengan mengatakan bahawa ada bekalan cukup. Berlaku jujur atau hidung anda akan jadi lebih panjang," ciap Siti Mariah dan menandai Khairy di Twitter.
Hidung panjang merujuk kisah Pinocchio watak cerita kanak-kanak yang hidungnya bertambah panjang setiap kali dia berkata bohong.
Bercakap pada sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, semalam, Khairy berkata Selangor perlu meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri itu.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengapa Selangor - sebuah negeri yang berkepadatan tinggi - mencatatkan kadar vaksinasi yang rendah.
Menurut Khairy, perkara itu adalah disebabkan isu kapasiti, bukannya kerana kekurangan bekalan vaksin.
"Kita telah tingkatkan pengagihan (vaksin) kepada Selangor pada Jun dan Julai. Saya rasa mereka dapat lebih 20 peratus daripada keseluruhan bekalan vaksin.
"Selangor ada isu kapasiti. (Sebelum ini) vaksinasi di negeri itu pada kadar 20,000 (dos) sehari. Saya perlu ke sana, untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk tingkatkan kapasiti.
"Sekarang kadar mereka hampir 50,000 dos sehari. Tetapi mereka perlu (tingkatkan kepada) lebih 100,000 dos sehari," katanya.
Kerajaan Selangor semalam melancarkan raptai program "Vaksin Selangor" di lokasi terpilih. Ia diadakan dua hari lebih awal dari tarikh pelancaran sebenarnya yang dijadualkan pada 28 Jun.
Siti Mariah berkata pelancaran rasmi program itu akan berlangsung Isnin ini.
Dia juga mengesahkan vaksin yang diberikan adalah Coronavac Sinovac yang dibeli secara langsung oleh kerajaan negeri daripada syarikat GLC, Pharmaniaga.
Menteri Besar Amirudin Shari sebelum ini berkata kerajaan negeri membelanjakan RM200 juta untuk membeli kira-kira 2.5 juta vaksin.
Melalui program Vaksin Selangor, kerajaan negeri akan mempercepat vaksinasi Covid-19 di kalangn penduduknya.
Walaupun mempunyai jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi di seluruh negara, Selangor ketinggalan daripada kadar vaksinasi.
Inisiatif ini diharapkan dapat melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Putrajaya yang sedang berjalan. Contohnya, mereka yang diberi vaksin bawah Vaksin Selangor akan diperbaharui statusnya di akaun MySejahtera mereka.
Inisiatif ini membolehkan perniagaan membeli akses vaksin untuk pekerja melalui platform Selangkah.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada awal bulan ini menzahirkan rasa terkejut dan kecewa baginda apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani berkata baginda bertitah mahu agar jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.
"Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta," katanya pada 8 Jun lalu