Paling Popular
Terkini

PULASAN | Rupa-rupanya situasi menyesakkan dada dan jiwa yang kita hadapi sekarang ini boleh dijelaskan dengan hanya satu benda: mi segera. 

Dan kita yang bodoh serba-serbi lagi miskin ini gagal memahaminya apabila menteri-menteri serta pemimpin memberikan isyarat apabila mereka menayangkan hidangan mi segera yang dinikmati.

Itulah. Kita ini bebal segala semua. Segala-galanya kena ditunjukkan satu demi satu sedangkan mesej yang sepatutnya sudah disampaikan oleh para menteri dan orang yang bijaksana melalui mi segera.

Apakah mi segera itu?

Mi segera ialah adunan tepung dan bahan-bahan lain - seperti minyak dan pengawet - yang dipersiapkan untuk dimakan pada waktu yang lain. Bersama disertakan dalam setiap bungkusan itu ialah perencah untuk memberikan rasa sedap kepada pemakannya.

Untuk memakan mi segera, kita perlu memastikan ia lembik terlebih dulu. Mi segera tidak bermanfaat kalau ia keras. Keras itu biasanya melawan. Mana boleh makan mi yang melawan, kan?

Maka harus direndam mi segera itu dalam air panas agar ia lembik supaya mudah dimamah dengan penuh perasaan.

Nah, itulah penjelasan tuntas yang terhidang di depan kita sekarang. Hari ini 27 Jun 2021 iaitu hari kedua terakhir untuk perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang kemudian dikenakan di atasnya dengan 'kuncitara'.

Kuncitara ialah istilah 'haram' (kerana belum diberikan fatwa halal oleh Dewan Bahasa dan Pustaka) untuk sekatan pergerakan penuh yang berjela-jela panjangnya itu. Maksudnya, istilah itu sendiri panjang - lagi menyusahkan - serta tempoh pelaksanaannya untuk kita, pun panjang.

Mesyuarat untuk mengkaji

Esok adalah hari terakhir kuncitara lanjutan yang sebelum ini pun sudah dilanjutkan namun sehingga pagi ini kita masih tertanya-tanya apakah nasib kita untuk esok dan lusa.

Namun kita yakin kerajaan yang prihatin dan penuh hikmah itu akan segera memaklumkannya kepada kita. Bila? Mungkin jam 10 malam esok. Ia masih dalam definisi segera, kan?

Kita tidak patut mendesak mereka untuk lebih bersegera daripada itu. Hari ini orang yang pandai serba-serbi itu mungkin perlu bermesyuarat untuk membincangkan bagaimana untuk mereka bermesyuarat esok sebelum memutuskan apa langkah selanjutnya.

Apakah kuncitara ini akan disambung atau ditamatkan, atau dimodifikasi seperti mi segera?

Begitu juga segala bantuan yang sedang diusahakan kerajaan maha prihatin sekarang. Kita yakin ia akan disediakan tidak lama lagi. 

Kita hanya perlu menunggu sehingga detik itu hadir untuk memberikan masa kepada orang tertentu - yang bergelut merampas tanggungjawab daripada orang lain yang diberikan mandat - sedang bermesyuarat sambil mengkaji untuk menubuhkan jawatankuasa khas.

Apa pun, bantuan tersebut - seperti moratorium pinjaman atau seumpamanya - akan datang juga. Besar atau kecil, meringankan atau memberatkan semuanya tak penting. Yang penting, ia datang dan datangnya secepat mungkin. Mungkin bulan depan.

Ia mengingatkan kita kepada janji-janji orang yang memegang kuasa sekarang suatu ketika dulu. Janji-janji itu dibuat dengan khabar yang indah dan segera juga.

Ia dibuat ketika mereka berada di luar kerajaan dan memandang melalui jendela kuasa saja. Justeru dijanjikan masalah seperti "pembunuh Adib" dan meminda Akta 355 yang sebelum ini Padang Merbok itu seolah-olah menjadi artifak sejarah. Dan nama allahyarham Adib semakin jarang meniti di bibir para pemimpin kerajaan.

Apa - atau nama siapa - yang meniti bibir mereka sekarang adalah hal lain pula.

Maka kita rakyat yang marhaen, hina dan bodoh ini hanya perlu bersabar kerana penyelesaian yang dijanjikan akan datang segera, kalau pun tidak secepat mungkin. Kalau perlu, kita akan diberi pencerahan oleh loyar buruk bergaji besar dan tetap untuk menenangkan keadaan.

Gambar hiasan, mesyuarat jemaah menteri PN.

Kalau masih tidak tenang, itulah salah satu tanda hati kita sudah kotor dicemari dosa. Barangkali ia disebabkan kegagalan kita menikmati khasiat mi segera seperti orang kenamaan yang ada.

Demikianlah bagaimana mi segera memberikan ibrah kepada manusia di Malaysia ini. Ia adalah mesej tersirat dan penuh seni yang menawarkan jawapan kepada kemelut yang sedang dihadapi kita semua sekarang.

Maksud "kita semua" itu sudah tentu merujuk kepada marhaen yang sedang bergelut meneruskan kehidupan di negara ini. Ia tidak terpakai kepada orang lain di negara luar sana kerana mereka sudah mula kembali kepada kehidupan normal lama perlahan-lahan.

Mengapa perlahan-lahan? Kerana mereka tidak mengenal makna segera atau secepat mungkin. 

Dan menteri-menteri mereka tidak melahap mi segera macam menteri-menteri kita.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS