Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan: Di mana munasabah galak rakyat berhutang ketika kesempitan?
Diterbitkan:  Jun 26, 2021 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Timbalan Presiden Umno mempersoal keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan sektor kredit komuniti atau pemberi pinjam wang (PPW) berlesen beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Mohamad Hasan berkata keputusan itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan keputusan berkenaan tidak dapat membantu rakyat dalam kesusahan ketika ini.

"Adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan?

"Di mana munasabahnya menggalakkan rakyat untuk berhutang? Inikah namanya strategi pemulihan yang bertangggungjawab?

“Rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan. Menambah beban hutang bukan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Tambah Mohamad lagi, keputusan KPKT itu secara tidak langsung menggalakkan rakyat berhutang ketika dalam situasi sukar.

“Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi sangat tidak bermoral,” katanya lagi.

Pada 23 Jun lalu, kerajaan bersetuju membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau PPW yang berdaftar bawah KPKT untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

KPKT dalam kenyataannya memaklumkan persetujuan itu dicapai susulan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.

Katanya, KK adalah sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

"Syarikat KK atau PPW perlu membuat permohonan baharu bermula hari ini bagi kebenaran operasi menerusi www.miti.gov.my dengan mengakses Portal CIMS 3.0.

"Syarikat hanya dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan daripada sistem CIMS. Bagi syarikat KK atau PPW di Sabah, Sarawak serta Labuan, kebenaran beroperasi perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS), Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak (JKNS) atau Perbadanan Labuan (PL)," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mohamad yang juga Adun Rantau berkata KPKT seharusnya menggunakan rizab kerajaan tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat.

"Begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap. Mereka terhimpit dengan kadar faedah yang sangat tinggi.

“Jadi, tugas kerajaan adalah untuk mencari jalan keluar dari semua ini demi pemulihan semula ekonomi negara,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS