Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang: Parlimen perlu bersidang secara kendiri seperti tahun lepas
Diterbitkan:  Jun 26, 2021 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata kerajaan sepatutnya melaksanakan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara kendiri dengan mengikuti syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia susulan kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim semalam, bahawa pembukaan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September ini.

Setiausaha Agung (Penaja) Pejuang Amiruddin Hamzah berkata tiada masalah untuk melaksanakan sidang secara kendiri, sepertimana yang telah dibuat pada tahun lalu.

“Persidangan kedua-dua Dewan telah berjaya dilaksanakan pada tahun lepas tanpa ada sebarang jangkitan atau mewujudkan kluster Parlimen.

“Tambahan pula, pada ketika itu semua yang menyertai persidangan belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, tidak seperti sekarang di mana hampir keseluruhan ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Rakyat telah sempurna mendapat suntikan vaksin yang diperlukan.

“Pegawai-pegawai pengiring ahli parlimen pula sedang diusahakan untuk mendapat suntikan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azhar dan Rais berkata sebelum sidang hibrid dapat dilakukan, satu sidang khas Parlimen terlebih dahulu akan diadakan secara kendiri pada awal Ogos bagi membahas serta menerima resolusi yang berkaitan bagi membolehkan persidangan secara hibrid dilaksanakan.

Kata mereka lagi, sedikit masa diperlukan bagi mengkaji dan membuat persediaan untuk memboleh persidangan dengan cara itu dapat dilakukan, antaranya segi perundangan dan teknikal.

Kerajaan kini menerima kritikan banyak pihak kerana didakwa melengah-lengahkan pembukaan Parlimen, meskipun Yang di-Pertuan Agong telah memberikan titah agar Parlimen dibuka semula secepat mungkin.

Amiruddin berkata lagi, Pejuang berpandangan sidang perlu dilakukan secara kendiri agar ahli Parlimen dapat menjalani tanggungjawab mereka dengan sebaiknya, antaranya menerusi perbahasan untuk membawa negara "keluar dari krisis kesihatan, ekonomi dan sosial".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS