Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia usir lelaki dikehendaki AS atas tuduhan ekploitasi seks kanak-kanak
Diterbitkan:  Jun 26, 2021 8:51 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Pihak berkuasa Malaysia mengusir warga Amerika Syarikat, Scott Barry Uchida, yang dikehendaki negara itu atas tuduhan melakukan eksploitasi seks terhadap kanak-kanak dan kesalahan lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Selangor pada 21 April dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dipindahkan ke Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).

Dia dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Subang pada Rabu lalu dengan menaiki pesawat tentera AS, kata Abdul Jalil dalam satu kenyataan malam tadi.

Setakat ini, katanya, tidak ada laporan mengenai kesalahan seksual yang dilakukan tertuduh di Malaysia.

Menurut kenyataan dari FBI pada Rabu lalu, Unchida adalah salah seorang daripada dua lelaki yang dikehendaki dalam kes rogol dan eksploitasi seks komersial terhadap tiga remaja. 

Jenayah itu didakwa dilakukan antara musim panas 2015 dan Januari 2018.

“"Seorang mangsa berumur 15 tahun melaporkan kepada seorang pegawai Jabatan Polis Kirkland (pada bulan Januari 2018) bahawa dua lelaki telah merogol, memaksanya melakukan pelacuran dan membuatnya mempromosikan orang lain. Uchida, yang merupakan salah seorang lelaki berkenaan, menemui mangsa melalui aplikasi media sosial meetme.com ketika berusia 12 tahun.

"Uchida membawa mangsa ke sebuah pangsapuri Seattle di mana dia mengancam akan melakukan kekerasan terhadapnya dan ahli keluarganya dan menahannya tanpa kerelaan. Pada bulan Mac 2021, Jabatan Polis Kirkland meminta bantuan FBI Seattle dalam mencari Uchida, yang dianggap telah melarikan diri dari negara ini, ”kata FBI.

Abdul Jalil berkata Uchida berjaya memasuki Malaysia kerana dia hanya dikehendaki di AS dan tidak ada Notis Merah Interpol yang dikeluarkan terhadapnya.

Polis melakukan penangkapan itu setelah menerima permintaan daripada FBI untuk mendapatkan bantuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS