Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOF: Kerajaan tak rancang jual lapangan terbang Subang
Diterbitkan:  Jun 25, 2021 5:42 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, kata Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata hartanah lapangan terbang adalah aset strategik kerajaan.

Menurut MOF, tanah LTSAAS dipajak kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selama 60 tahun sehingga 2067 dan syarikat itu bertanggungjawab membangunkan aset sekitar lapangan terbang itu.

LTSAAS adalah salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB menerusi perjanjian operasi dengan kerajaan yang dimeterai pada 2009.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut.

“[...] Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah.

“Sehubungan itu, MOF ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini, dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Subang Skypark Sdn Bhd (Subang Skypark) - syarikat milik penuh WCT Holdings Bhd (WCT Holdings) - menghantar cadangan konsesi baru yang akan berakhir pada 2092.

Subang Skypark dilaporkan turut menghantar cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengambil alih keseluruhan lapangan terbang itu dan memajukan tanah di sekitarnya.

MAHB dan salah satu pemegang sahamnya, Khazanah Nasional Bhd, dikatakan menentang cadangan tersebut.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini berkata kabinet setakat ini tidak pernah meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta.

“Kerajaan terbuka dalam menerima cadangan oleh mana-mana pihak bagi tujuan mengembangkan aset baru atau sedia ada.

“Namun, ingin ditegaskan bahawa setakat ini tidak ada sebarang keputusan dibuat oleh kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“[...] Kerajaan memahami dan mengulangi pendirian bahawa usaha dan pertimbangan sewajarnya diperlukan sebelum membuat keputusan akhir mengenai aset-aset strategik awam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, seperti LTSAAS,” kata kementerian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS