Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Darurat tak perlu dilanjut: PH akan ketengah pendirian di mesyuarat jawatankuasa darurat
Diterbitkan:  Jun 25, 2021 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian agar darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Dalam satu kenyataan bersama antara Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kata mereka, PH kekal berpendirian bahawa darurat perlu ditamatkan segera.

Menurut PH, ini memandangkan darurat tidak memberi kesan kepada usaha mengekang penularan Covid-19, malah wabak Covid-19 menjadi semakin terus sejak ia dilaksanakan 11 Jan lalu.

“Majlis Presiden PH menjunjung kasih di atas titah pandangan raja-raja Melayu berkaitan isu darurat seperti yang terkandung di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 16 Jun lalu, iaitu "tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021".

“PH mengekalkan pendirian yang telah diumum sebelum ini, iaitu darurat yang diisytihar pada 11 Januari lalu tidak memberi kesan kepada usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 dan perlu ditamat segera.

“Malah berdasarkan bukti sains dan data, keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak darurat diisytihar dengan jumlah kes positif dan kematian harian yang kekal tinggi,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Tambah mereka, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan mengadakan mesyuarat terakhir pada Julai ini, dan wakil PH akan menegaskan beberapa perkara dalam mesyuarat berkenaan.

Ini termasuklah jawatankuasa perlu menjunjung titah pandangan raja-raja Melayu berhubung isu darurat serta menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik COVID-19.

Selain itu, jawatankuasa perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos 2021.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos 2021,” kata mereka lagi.

Jawatankuasa itu ditubuhkan Feb lalu atas perkenan Agong, berperanan menasihati Agong mengenai pelanjutan atau penamatan darurat.

Selepas pertemuan khas raja-raja Melayu yang dipengerusikan Agong di Istana Negara pada 16 Jun, Agong dipetik menitahkan agar Parlimen dapat bersidang secepat mungkin, sementara raja-raja Melayu pula dipetik berpandangan tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan.

Darurat berkuat kuasa dari 11 Jan dan dijadualkan tamat 1 Ogos, tertakluk perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan. Ia dilaksanakan sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa ia antara lain hanya digunakan untuk memastikan kerajaan terus berkuasa di sebalik kekurangan majoriti yang didakwa dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Ekoran darurat, sidang Parlimen dan DUN digantung buat masa ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS