Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam lelaki, lima wanita disyaki berpesta dadah ditahan

Polis menahan enam lelaki dan lima wanita kerana disyaki terlibat dengan pesta dadah di sebuah kondominium yang dijadikan inap desa di Kompleks BM City, Bandar Perda di Pulau Pinang tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata kesemua mereka yang berumur antaran 18 dan 25 tahun ditahan sepasukan polis yang membuat pemeriksaan di kondominium itu pada 12.01 tengah malam.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan di inap desa berkenaan dan kami menjalankan intipan sebelum menyerbu unit inap desa yang disewa mereka.

"Pemeriksaan di ruang tamu menemukan 14 biji pil ekstasi serta dadah jenis ketamin seberat 4.7 gram, dan ujian saringan air kencing terhadap semua mereka mendapati keenam-enam lelaki itu positif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya selain kesalahan dadah, kumpulan itu juga didapati ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul tanpa melakukan penjarakan fizikal.

Beliau berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut dikenakan kompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS