Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bunuh Nhaveen: DPP mohon perintah larangan terhadap aktivis

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan perintah larangan (gag order) terhadap aktivis Arun Dorasamy yang mendakwa mempunyai bukti baru mengenai pembunuhan mangsa buli, T Nhaveen.

Peguam Rajesh Nagarajan memberitahu Malaysiakini bahawa permohonan perintah larangan itu difailkan pada 18 Jun di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

"Pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan perintah larangan terhadap Arun.

"Hari ini adalah pengurusan kes dan mahkamah menyatakan bahawa pendengaran (perintah larangan itu) akan didengar pada 28 Julai," kata peguam itu ketika dihubungi.

Keluarga Nhaveen dan Arun menubuhkan "Nhaveen Action and Investigation League" (Nail) tahun ini untuk menyokong kempen anti-buli dan menuntut keadilan bagi Nhaveen.

Organisasi itu berkata ia telah mengemukakan surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), pejabat Peguam Negara Pulau Pinang dan DPP Mohd Amril Johari sejak Mei lalu tetapi gagal mendapat sambutan.

Rajesh dilantik oleh keluarga Nhaveen sebagai pemerhati semasa perbicaraan kes pembunuhan itu.

Peguam itu menambah perbicaraan kes itu dijadualkan bersambung pada 29 Jun, tanpa dipengaruhi oleh permohonan perintah larangan tersebut.

Nhaveen dilaporkan diganggu dan diserang oleh beberapa remaja, termasuk seorang bekas rakan sekolah, dalam perjalanan pulang dengan rakannya T Previin pada malam 9 Jun 2017.

Nhaveen diculik, manakala Previin berjaya melepaskan diri dan melarikan diri ke rumah Nhaveen untuk mendapatkan bantuan. 

Nhaveen ditemui dengan kecederaan serius pada keesokan harinya. Setelah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan, dia meninggal dunia pada 15 Jun 2017.

Empat remaja didakwa atas pembunuhan itu, dua di antaranya merupakan kanak-kanak bawah umur pada masa kejadian.

Perbicaran di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang akan bermula pada 5 Mei tahun ini dan dijadualkan akan disambung pada 29, 30 Jun dan pada 5 dan 6 Ogos.

Bulan lalu, Previin, ibu Nhaveen, Shanti dan abang Shanti, Karunagaran membuat laporan polis yang menunjukkan lebih daripada empat orang terlibat dalam kes pembunuhan itu.

Laporan itu antara lain mendakwa kira-kira 20 orang dipercayai terlibat dalam kes tersebut. 

Previin dilaporkan telah menerima ancaman bunuh dan meninggalkan Pulau Pinang kerana faktor keselamatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS