Golongan antivaksin semakin berkurangan di Kelantan, kata Anggota dewan undangan negeri (Adun) Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan statistik pendaftaran vaksin di Kelantan yang meningkat kepada 50 peratus atau 603,289 orang.
Md Alwi berkata, rakyat Kelantan semakin menerima positif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) apabila sudah ramai hadir untuk menerimanya.
“Alhamdulillah, sekarang ini, semua orang nak vaksin, sebab vaksin inilah satu-satunya ikhtiar kita untuk mengurangkan penyakit ini daripada menjadi lebih teruk.
“Kalau dulu, ramai menolak, tapi sekarang kita sudah tengok perkembangan positif.
“Bahkan, ada yang nama naik dulu taknak terima vaksin, sekarang datang balik untuk menerima vaksin.
“Golongan antivaksin ini dulu ada, sekarang tiada dah.
“Sekarang tiada sebab bila warga emas yang dah suntik vaksin balik ke rumah, dia bagitahu yang dia makin segar,” katanya katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada peniaga kecil terkesan Covid-19 di Pusat Khidmat Adun Kok Lanas, hari ini.
Dia berkata sedemikian selepas ditanya masih wujudkan golongan antivaksin yang tidak mahu menerima vaksin dalam kalangan rakyat Kelantan.
Pada 23 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan lebih setengah juta rakyat Kelantan telah mendaftar vaksin dengan pelbagai cara termasuk melalui aplikasi MySejahtera dan Program Outreach Vaksinansi Covid-19.
Sementara itu, dia juga berkata perkembangan positif dapat dilihat apabila jumlah orang ramai datang untuk menerima vaksin di Majlis Daerah Ketereh menunjukkan peningkatan.
“Di PPV Majlis Daerah Ketereh ni, dulunya 400 sehari, sekarang 600 sehari, dan insya-Allah pada bulan Julai ini, apabila vaksin sampai, akan dipertingkatkan lagi.
“Bila buat vaksinasi, kita ada daya ketahanan, kalau kena sekalipun, kita tidak lebih teruk dan yang tentu sekalinya, akan kurangkan kematian,” katanya lagi.