Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sukarelawan didakwa jual janji temu vaksin, CITF lapor polis

Sesetengah sukarelawan di pusat vaksinasi di Sabah didakwa menjual slot janji temu kepada individu yang mahu memotong barisan untuk divaksinasi.

Menurut sumber, sukarelawan-sukarelawan dari Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) yang dikelola kerajaan negeri, mengenakan bayaran RM100 seorang untuk vaksinasi menerusi 'pintu belakang'.

Dalam sekurang-kurangnya dua kes, sumber mendakwa sukarelawan memasukkan nama di tempat teratas senarai menunggu di pusat vaksinasi, sekiranya ada janji temu yang tidak dipenuhi di situ.

Apabila seseorang yang dijadualkan menerima vaksin tidak hadir pada hari tersebut, nama-nama yang dimasukkan ke dalam senarai menunggu tidak rasmi itu tadi akan dihubungi kakitangan pemvaksinan untuk menerima vaksin mereka, dan sukarelawan akan dibayar RM100 oleh penerima vaksin itu.

Ketika dihubungi, MyVAC memberitahu pihaknya sedang menyiasat perkara itu sementara Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata laporan polis telah dibuat berkenaan penjualan vaksin di sektor swasta.

Senarai menunggu tak rasmi di pusat vaksin

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan yang berlaku di Sabah itu, namun mengesahkan bahawa pusat-pusat vaksinasi di seluruh negara memang ada senarai menunggu tidak rasmi sebagai persediaan menggantikan individu yang tidak dapat memenuhi janji temu mereka.

Ini kerana semua vaksin di dalam bebuli (vial) mesti digunakan setelah dibuka. Contohnya, setiap bebuli vaksin Pfizer BioNTech mengandungi enam dos vaksin.

Banyak pusat vaksin cuba mengatasi masalah ini dengan membenarkan mereka yang tinggal atau bekerja berdekatan pusat vaksin untuk menyerahkan maklumat bagi dihubungi - supaya mereka boleh dihubungi jika ada janji temu yang tidak dipenuhi.

Pusat-pusat vaksin melaporkan banyak kes janji temu yang tidak dipenuhi, dengan pelbagai sebab diberikan termasuklah tarikh janji temu diterima pada saat akhir, atau tidak perasan janji temu kerana tiada makluman diterima menerusi MySejahtera atau cara lain.

Daripada senarai menunggu itu, pusat vaksin kebanyakannya mengutamakan mereka yang tergolong dalam Fasa 2, iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau individu dengan komorbiditi, atau menawarkan slot janji temu kepada orang yang mengiringi tanggungan mereka untuk divaksin.

Bagaimanapun, ada juga penerima Fasa 3 memberitahu Malaysiakini yang mereka menerima vaksin selepas menyerahkan maklumat untuk dihubungi di pusat pemvaksinan.

Difahamkan, dalam kes-kes tertentu, kakitangan pusat vaksinasi menghubungi premis perniagaan atau klinik awam berdekatan untuk bertanya sama ada kakitangan mereka boleh hadir secepat mungkin ke pusat vaksin untuk menerima vaksin.

Bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut menghadapi pengalaman serupa.

Menerusi Twitter, Rafizi berkata dia dan isteri menerima vaksin selepas sebuah pusat vaksinasi berdekatan pejabatnya menghubunginya, bertanyakan sama ada dia boleh hadir untuk divaksin setelah ada penerima yang tidak hadir.

Pengalaman di lapangan nampaknya berbeza dengan amalan standard yang diberitahu kerajaan.

Dalam satu sidang media awal tahun ini, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin berkata senarai menunggu disediakan oleh CITF kepada pusat vaksin, dan pusat vaksin tidak boleh menerima orang yang hadir tanpa temujanji (walk in) untuk didaftar dalam senarai menunggu.

CITH: Janji temu vaksin bukan untuk dijual

Ketika dihubungi berkenaan dakwaan yang berlaku di Sabah itu, CITF berkata pada 14 Jun dan 22 Jun, ia telah membuat dua laporan polis berhubung dakwaan janji temu dijual di sektor swasta.

“CITF ingin menegaskan bahawa tak ada vaksin atau janji temu vaksin yang boleh dijual.

“Vaksin adalah percuma untuk semua penduduk Malaysia di bawah Pick,” katanya.

Ia turut menggesa semua maklumat berhubung penjualan vaksin atau janji temu vaksin dilaporkan kepada pihak polis.

Semalam, polis telah menahan tiga individu yang didakwa mengenakan bayaran RM420 untuk dua dos vaksin, dengan bayaran dibuat selepas vaksinasi selesai dilakukan.

Lebih 4.7 juta rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, sementara 1.8 juta orang sudah menerima kedua-dua dos.

Pada Isnin, Khairy berkata seramai 930,087 orang atau sepertiga daripada warga emas yang sudah berdaftar, masih menunggu untuk divaksinasi dengan 253,719 orang dijadual menerima dos pertama minggu ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata kira-kira 19,000 daripada 280,000 orang, atau tujuh peratus OKU yang berdaftar, telah pun divaksin.

Jika digabungkan, ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangya sejuta orang daripada Fasa 2 di seluruh negara, masih lagi menunggu untuk menerima vaksin mereka. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS